Berita

“Waktu Awal Perkahwinan Dulu, Kami Selalu Fikir…,” – Hanis Zalikha Syukur Bisnes Bertahan 10 Tahun Bersama Suami, Banyak Belajar Dari Kesilapan

Share

Pelakon dan usahawan, Hanis Zalikha tidak menyangka perniagaan yang diusahakan bersama suaminya, Hairul Azreen mampu bertahan lebih sedekad meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan mereka dalam dunia perniagaan.

Menurut Hanis, dia dan Hairul pada awalnya hanya mencuba nasib dalam bidang tersebut demi menambah sumber pendapatan selepas mendirikan rumah tangga.

“Saya dan Hairul memang mengambil risiko bila menceburi dunia perniagaan. Kami hanya mencuba sahaja.

“Sewaktu awal perkahwinan dahulu, kami selalu berfikir tentang apa lagi yang harus kami buat untuk luaskan lagi sumber pendapatan.

“Hairul yang mulakan langkah ini dan saya teruskan usaha itu. Kini, jenama ini sudah bertahan sehingga 10 tahun. Jadi, jika bertanya tentang liku-liku pernigaan, ia ada macam-macam cabaran,” katanya kepada MH.

Hanis berkata demikian ketika ditemui pada acara sambutan ulang tahun ke-10 jenama fesyen miliknya, Cakenis, baru-baru ini.

Jatuh Bangun Perniagaan Hanis

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengakui dunia perniagaan banyak mengajar dirinya untuk mengenali kelemahan sendiri, selain perlu sentiasa bersedia memperbaiki setiap kekurangan.

“Pada saya, perniagaan adalah satu bidang yang akan mendedahkan kelemahan kita. Jika kita tak pandai dalam bahagian pemasaran atau kewangan, kita akan tercabar. Setiap pemilik bisnes ada cabaran yang berbeza.

“Sebagai pemilik bisnes, saya sentiasa belajar. Jika kita buat perkara yang tidak sepatutnya, kita akan ubah pada masa hadapan. Walaupun perniagaan ini sudah 10 tahun, ada banyak lagi hal yang kami perlu belajar,” ujarnya lagi.

Ambil Risiko Kembangkan Jenama

Dalam masa sama, Hanis meluahkan rasa syukur apabila perniagaan yang bermula dengan produk tudung kini semakin berkembang ke pelbagai segmen lain.

“Saya sangat tak sangka kerana pada awalnya, kita mulakan bisnes dengan produk tudung. Ketika itu, ada banyak jenama tudung di pasaran.

“Bila kami memutuskan untuk meneruskan bisnes ini, jika kami hanya fokus pada tudung sahaja, saya hanya akan berada di dalam satu kelompok sahaja.

“Jadi, kami pilih untuk keluarkan produk lain juga seperti jumper, pakaian renang, pakaian sukan, segmen lelaki dan kanak-kanak. Jadi, dalam 10 tahun ini, kami memang ambil sahaja risiko.

“Namun, segala risiko itu sudah dipertimbangkan. Kami tiada pembiaya atau pelabur. Saya hanya berdua sahaja bersama suami. Apa sahaja bentuk ‘endorsement’ kami akan labur semula dalam syarikat,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Hanis turut mengakui pernah melalui detik sukar sepanjang bergelar usahawan. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana sentiasa dikelilingi sistem sokongan yang kuat.

“Saya ada juga terfikir tentang detik paling sukar bila menjadi pemilik bisnes. Namun, saya bersyukur kerana dikurniakan sistem sokongan yang kuat.

“Apa sahaja yang saya lalui, saya tak anggap ia teruk. Ia cuma satu lagi cabaran di dalam perniagaan. Apa sahaja masalah tak kiralah dalaman atau luaran, saya akan hadap.

“Bila kita masuk ke bidang ini, kita memang kena hadap apa sahaja cabaran yang berlaku,” akhirinya.

Terdahulu, jenama Cakenis baru sahaja melancarkan koleksi terbaharu bersempena ulang tahun ke-10 penubuhannya.

Pada majlis sama, dua pelakon popular iaitu Ikmal Amry dan Siti Khadijah Halim turut diumumkan sebagai wajah bagi koleksi baharu tersebut.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf