[VIDEO] MHthrowback Angkat Kisah Suka Duka Artis Senior, Jadi Arkib Memori Dari Naskhah Majalah Media Hiburan

Share

Selepas lebih tiga dekad membawakan pelbagai laporan menyeluruh mengenai kisah suka duka industri hiburan tanah air mahupun luar negara, sudah tentu platform Media Hiburan mempunyai banyak momen menarik selebriti boleh dikongsikan kembali buat para pembaca masa kini.

Selari dengan perkembangan dunia kewartawanan yang kini telah beralih kepada era digital, Media Hiburan juga turut tidak ketinggalan menghasilkan banyak kandungan menarik yang lebih segar bersesuaian dengan penerimaan masyarakat masa kini.

Bagaimanapun pada masa sama, tidak meninggalkan terus naskhah majalah kerana ia boleh diselak kembali lalu dikenang sebagai memori indah oleh bintang senior yang terbabit.

Bagi menghargai jasa dan sumbangan artis senior, team digital kami  memperkenalkan sebuah program berbentuk video yang berjudul ‘MHthrowback’ menerusi saluran YouTube Media Hiburan.

Menariknya, di dalam setiap episod, artis terlibat akan berkesempatan menceritakan mengenai sisi lain sesebuah berita atau laporan yang pernah diterbitkan oleh majalah Media Hiburan sebelum ini.

Terdahulu, sepanjang tahun ini, MHthrowback menghimpuankan ramai artis yang sudah memahat nama dalam industri iaitu Azwan Ali, Azharina, Datuk Aznil Haji Nawawi, Ramlah Ram, Zarul Umbrella, Jasmin Hamid dan Liza Abdullah.

IKLAN