
Genap seminggu selepas menganjurkan majlis sambutan ulang tahun ke-100 Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali bersama anak-anak seni, pelakon Datin Seri Umie Aida tidak menyangka pertemuan tersebut bakal menjadi momen terakhirnya bersama tokoh negarawan berkenaan.
Bagaimanapun, Umie menyifatkan dirinya dan barisan anak seni yang hadir sebagai insan bertuah kerana berpeluang merakamkan ucapan serta menyampaikan penghargaan secara langsung buat Allahyarhamah sebelum pemergiannya.
“Rezeki kami kerana dapat mengadakan majlis itu seminggu yang lalu. Ketika itu, keadaan Tun Mahathir dan Allahyarham Tun Hasmah pun tidak berapa sihat. Namun, mereka berusaha juga untuk hadir.
“Hari ini, kami sebagai anak seni dan rakyat Malaysia reda dengan pemergian Tun Hasmah yang banyak berjuang dan menjadi tulang belakang kepada pemimpin yang kita hormati iaitu Tun Mahathir.
“Saya tidak berasa terkilan kerana pada majlis itu, kami dapat sampaikan rasa penghargaan dengan setiap perjuangan beliau selama ini. Alhamdulillah itulah yang buat saya bahagia,” katanya kepada MH.
Sementara itu, pengarah dan penerbit, Erma Fatima pula menyifatkan pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja buat negara, malah industri seni tanah air.
Pernah mengarahkan pementasan teater Tun Siti Hasmah pada 2012, Erma menyifatkan dirinya bertuah kerana berpeluang menyelami hati serta memahami penat lelah Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah sepanjang mengenali tokoh berkenaan.
“Tiada siapa yang mahu kehilangan orang yang bermakna di dalam hidup. Kita menyayanginya bukan hanya kerana beliau merupakan ‘first lady’ tapi lebih dari itu.
“Saya pernah bersama beliau untuk mengadakan pementasan teater bersama. Saya juga berpeluang untuk mengunjungi beliau beberapa kali.
“Saya juga dapat tahu dan memahami sedikit keluh kesah, kegembiraan dan kebahagiaannya,” ujarnya.
Umie dan Erma berkata demikian ketika memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham Tun Hasmah di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor pada Isnin.
Jelas Erma lagi, para anak seni akan terus menghargai segala jasa dan kebaikan Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang disifatkan begitu dekat di hati mereka.
“Nak melepaskan beliau pergi memang bukan mudah. Tiada siapa pun yang sanggup tapi saya terpaksa reda. Tak mungkin saya dapat lupakan segala jasanya.
“Tiada siapa yang dapat menggantikan tempatnya di hati kami anak seni. Tun Hasmah seorang yang sangat kuat.
“Bila kita dekat dengannya, kita dapat rasa sifat keibuannya dan lemah lembut,” akhirinya.
Terdahulu, Tun Dr Hasmah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi Isnin.
Berita duka itu disahkan sendiri anak kepada Allahyarhamah iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Tun Dr Hasmah telah selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, pada kira-kira jam 6.10 petang Isnin.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.