Berita

TTMM2: “Kami Akan Terbang Ke…,” – Fazley Yaakob Umum Fariedz Bakal Rakam Single Di ‘Oversea’, Tersingkir Bukan Pengakhiran

Share

Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob tetap berpuas hati dengan persembahan anaknya, Fariedz Fazley meski mereka tersingkir pada saingan minggu keempat Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2), malam tadi.

Menurut Fazley, dia bangga dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh Fariedz dan mereka sebenarnya memang sudah bersedia untuk berhadapan dengan situasi seperti ini.

“Sejak awal lagi, saya memang sudah persiapkan Fariedz bahawa setiap minggu, akan ada kemungkinan untuk kita terkeluar. Saya selalu ingatkan Fariedz untuk sentiasa memberikan persembahan yang terbaik.

“Pada saya, orang akan ingat persembahan terakhir kita sampai bila-bila. Sebagai seorang bapa dan pengurus, saya merasakan tiada kesilapan di dalam persembahan Fariedz malam ini.

“Dia menyanyi dan menari dengan baik seperti mana yang kita minta. Penonton juga beri reaksi yang baik. Namun, lapan peserta lain juga sama hebat,” katanya kepada MH.

Fazley dah Fariedz ditemui media selepas tamat konsert minggu ke-4 TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Berlapang Dada, Percaya Rezeki

Sementara itu, Fariedz pula memaklumkan dirinya menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka dan merasakan rakan-rakan yang lain lebih layak untuk bertanding di minggu-minggu berikutnya.

“Seperti semua tahu, kesemua peserta yang bertanding hebat-hebat belaka. Saya memang tak boleh nak bersaing dengan mereka. Saya faham kenapa saya tersingkir. Mereka ada skil-skil yang hebat.

“Sejak minggu pertama, saya sudah merasakan ini bukan tempat saya. Mampu bertahan sampai minggu ke-4 pun saya terkejut,” kongsinya.

Namun, perjalanan Fariedz sebagai anak seni tidak akan terhenti setakat ini kerana dia sudah pun mengikat kontrak dan bakal merakamkan single terbaharu tidak lama lagi.

“Kita masuk ke program ini dengan perasaan 50-50. Sebelum ini, kami tidak boleh dedahkan kepada media. Fariedz sebenarnya sudah mendapat tawaran untuk menjadi penyanyi rakaman sejak minggu pertama TTMM2.

“Namun, saya buat keputusan untuk turut serta di TTMM2 untuk melihat sejauh mana kemampuan Fariedz. TTMM2 ini merupakan baru loncatan untuk dia bergerak ke fasa kedua.

“Dia akan merakamkan single tidak lama lagi. Fariedz sudah pun menerbitkan, menulis dan menyanyikan lagunya sendiri. Kita tunggu sidang media seterusnya untuk cerita lebih penuh,” ujarnya.

Jelas Fazley lagi, lagu tersebut sepatutnya dijadualkan dilancarkan lebih awal namun, dia dan Fariedz harus memberikan fokus dahulu bertanding di TTMM2.

“Lagu itu sepatutnya akan dilancarkan pada bulan lalu. Namun, bila program TTMM2 jalan dahulu, kita buat keputusan untuk tangguh dahulu. Kita akan terbang ke luar negara untuk sesi rakaman.

“Saya bangga kerana lagu itu ditulis sendiri oleh Fariedz. Saya belum boleh dedahkan lagi butirannya. Ini sesuatu yang besar buat kami.
Ini permulaannya.

“Tunggu Fariedz Fazley muncul dengan single yang dia rakam, tulis dan terbit sendiri,” akhirinya.

Terdahulu, Faris tampil dengan persembahan yang menghiburkan menerusi lagu mash up Baby dan Kopi Dangdut.

Namun, persembahan tersebut dilihat belum cukup untuk menambat hati juri seterusnya berada di tangga tercorot dengan markah 69.67%.

Sementara itu, gandingkan Azeva dan Datuk A. Aida terus mencipta sensasi apabila berjaya menduduki tempat pertama dengan markah 85.67%.

TTMM2 dikendalikan oleh pengacara legenda Aznil Nawawi, bersama barisan juri iaitu Datuk AC Mizal dan Sarimah Ibrahim.

Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis di bawah seliaan masing-masing.

Saksikan konsert TTMM2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam selain turut boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf