
Penyanyi Ani Maiyuni tidak menyangka dia dan anaknya Viviana, sekali lagi meraih markah tertinggi pada saingan minggu ketiga Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2).
Menurut Ani, dia malam tadi tidak meletakkan sebarang harapan untuk Viviana berada di kedudukan teratas memandangkan anaknya itu masih bergelut dengan masalah kesihatan.
“Ya Allah, kami ingatkan peserta yang menang Anugerah Inspirasi Kasih itu yang jadi juara minggu ini. Kami betul-betul tak sangka. Di program ini, saya hanya nak kembangkan lagi bakat anak saya.
“Orang memang sudah cop saya sebagai penyanyi dangdut. Kini, eksperimen saya ialah pada Viviana. Inilah masalah untuk kita ‘try and error’.
“Kalau orang suka, kita teruskan. Kalau sebaliknya, kita cuba ubah. Ini adalah proses untuk saya berkarya dan Viviana pula untuk belajar,” katanya kepada MH.
Ani dan Viviana ditemui selepas berakhirnya konsert minggu ketiga TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA,Shah Alam pada Ahad.
Penyanyi lagu Sedap itu turut menyedari respon segelintir pihak yang kurang senang dengan pencapaian anaknya.
Justeru, Ani memuat naik hantaran di media sosial sebagai tanda penghargaan terhadap setiap komen, sama ada positif atau negatif.
“Saya berkongsi perkara itu kerana saya ingin memaklumkan kepada mereka yang mengecam, saya baca komen-komen mereka. Saya tidak mengabaikan satu komen pun. Yang puji pun saya baca, apatah lagi yang mengeji.
“Dari situ, Viviana dapat perbaiki kelemahannya. Bila ramai yang mengeji, pada saya, mereka sudah mula ambil tahu mengenai Viviana.
“Ada kalanya, bila kita tengok cermin, kita pun tak tahu cara nak puji diri sendiri. Hanya orang yang boleh menilai kita sama ada bagus atau tidak. Setiap orang ada selera sendiri,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ani turut memuji semangat Viviana yang tidak pernah mengalah walaupun berdepan kecaman hebat sejak dahulu lagi.
“Anak saya ini, dia belajar daripada bawah. Dia adalah budak yang pernah dibuli sejak daripada sekolah sampailah sekarang. Macam-macam perkara yang sudah dia lalui. Setakat buli seperti ini, tiada hal sangat.
“Sebagai ibu, sudah tentu saya rasa agak sedih. Saya okay sahaja tapi kalau nak menegur, biarlah dengan bahasa yang baik dan berbudi,” katanya sebak.
Viviana pula memaklumkan dirinya sudah membuat persediaan mental dan fizikal sebelum menyertai pertandingan tersebut.
“Saya tak rasa apa-apapun sebenarnya. Sebelum masuk TTMM2, saya sudah buat persediaan mental. Ibu juga sudah pesan, ini adalah dunia seni, sudah tentu akan ada kecaman.
“Tiada orang yang hebat yang tak pernah kena kecam. Saya pegang kata-kata ibu,” katanya.
Gandingan Ani Maiyuni dan Viviana terus mencuri tumpuan apabila sekali lagi menduduki tangga pertama dengan markah 84.33 peratus.
Viviana berjaya menambat hati juri menerusi persembahan lagu Bintang yang diolah semula ke genre ‘caberet’.
TTMM2 minggu ini dikendalikan oleh Aznil Nawawi bersama barisan juri iaitu Datuk AC Mizal dan Sarimah Ibrahim sementara Datuk Ramli MS sebagai juri jemputan.
Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis di bawah seliaan masing-masing.
Saksikan konsert TTMM2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam selain turut boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini