
Pelakon Fatin Afeefa meluahkan rasa syukur apabila perjuangannya selama ini untuk menuntut hak nafkah anaknya perempuan, Ivy Herra akhirnya membuahkan hasil.
Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, Fatin memaklumkan mahkamah telah membuat keputusan yang memihak kepada kebajikan anaknya apabila bayaran nafkah bulanan dinaikkan, selain yuran persekolahan yang kini ditanggung sepenuhnya oleh bekas suami, pelakon Adam Shahz.
“Hak sentiasa ada, bukan sesuatu yang perlu diminta. Kini, ia sedang ditunaikan.
“Mahkamah telah memutuskan nafkah bulanan dinaikkan dan yuran sekolah ditanggung sepenuhnya.
“Tidak lagi terbeban pada ibu semata-mata. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Yang Maha Melihat lagi Maha Adil,” tulisnya.
Dalam pada itu, Fatin turut mengenang tempoh tiga tahun berulang-alik ke mahkamah sebagai satu perjalanan yang bukan mudah.
“Tiga tahun bukan sekejap. Dari mengandung sampai si bongsu dah dua tahun ulang alik mahkamah.
“Saya bertahan dan lawan untuk anak perempuan saya Ivy. Hari ini, mahkamah sendiri kata, dia mampu,” katanya.
Fatin juga merakamkan penghargaan kepada suami, Aliff Awang yang sentiasa memainkan peranan sebagai figura ayah yang bertanggungjawab.
“Terima kasih kerana menjadi seorang ayah yang melangkah ke hadapan dalam diam.
“Melakukan apa yang perlu untuk Ivy tanpa pernah mengharapkan penghargaan. Saya akan sentiasa menghargai awak, sayang,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Fatin pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013 sebelum bercerai pada 30 Mei 2017.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ivy Herra Sophia.
Kemudian, pada 30 Disember 2022, Fatin kembali mendirikan rumah tangga bersama Aliff Awang dan pasangan ini turut dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Jibril.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini