Tiada Penyingkiran Minggu Ke-5 Dansa Dan Sing, Arja Lee Terselamat

Share

Konsert minggu kelima yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam menyaksikan tiada penyingkiran sekaligus menyelamatkan Arja Lee.

Penyanyi itu bersama para penarinya,  The Pirates menjadi peserta yang mendapat markah terendah dengan jumlah 78.47 peratus.

Shiha Zikir buat pertama kalinya turut menduduki tiga tangga terbawah dan hampir tersingkir apabila sekadar menduduki tangga keenam dengan jumlah markah 97.87 peratus.

Menurut juri tetap, Datuk Rizalman, momentum Shiha bersama Team Squad menerusi lagu Asereje tiada perkembangan dan statik menyebabkan mereka berada di tangga tiga terbawah.

Chubb-E terus menguasai carta apabila menduduki tangga pertama dengan keseluruhan markah 108.97 peratus.

Dansa Dan Sing menggabungkan elemen tarian dan seni suara itu menampilkan barisan juri tetap yang terdiri daripada Linda Jasmine dan Datuk Rizalman Ibrahim, manakala Mark Adam selaku juri jemputan.

Tujuh kumpulan masih lagi meneruskan saingan antaranya Sophia Liana, Chubb-E, Shiha Zikir, Waris, Wani Kayrie dan Raja Syahiran.

Program ini dihoskan oleh Sherry Al-Hadad dan Hady Mirza dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap Ahad, jam 9.00 malam bermula 5 Januari lalu.

IKLAN