Berita

“Tiada Apa Perlu Dinegatifkan,” – Siti Nurhaliza Kembali Sepentas Dengan Noraniza Idris, Hidupkan Semula ‘Hati Kama’

Share

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk kembali berkongsi pentas bersama Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris akhirnya bakal menjadi kenyataan menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara.

Menurut Siti, Noraniza atau mesra disapa Kak Ani merupakan antara figura penting yang selama ini turut memperjuangkan irama tradisional tanah air.

Justeru, kehadirannya dianggap cukup signifikan dalam menjayakan konsert berkenaan.

“Apabila saya ingin mengadakan konsert tradisional terbesar, saya rasa tidak lengkap jika tiada Kak Ani. Terutamanya buat peminat yang memang merindukan lagu Hati Kama versi asal.

“Jadi, saya bagitahu Kak Rozi (pengurus) yang kita kena jemput Kak Ani. Saya sebenarnya sangat gembira. Saya tak tahu bila lagi yang saya dapat buat konsert tradisional seperti ini.

“Saya nak mereka-mereka yang hebat ini terutamanya yang memperjuangkan irama tradisional untuk ada bersama-sama. Sebab itu saya jadi agak emosi.

“Kak Ani kena ada. Tak lengkap Hati Kama tanpa beliau,” luahnya dalam nada sebak.

Siti berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu.

Selain Noraniza, konsert berskala mega itu turut menampilkan Haziq Rosebi serta dua bintang Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar sebagai artis jemputan.

Mengulas mengenai kerjasama mereka yang sekian lama tidak berlaku, Siti turut menepis sebarang tanggapan negatif.

“Tiada ada yang perlu dinegatifkan. Cuma masa yang menentukan untuk kami bergabung semula. Pandangan-pandangan negatif itu tidak ada.

“Jadi, waktu yang paling sesuai untuk kami bergabung semula ini adalah pada konsert tradisional. Kami nak angkat budaya kita bersama-sama,” kongsinya lagi.

Kak Ani Tak Fikir Panjang Terima Pelawaan

Sementara itu, Noraniza mengakui dia tidak berfikir panjang untuk menerima pelawaan tersebut kerana mahu memberikan sokongan penuh terhadap usaha Siti dalam memartabatkan muzik tradisional.

“Bila dapat tawaran itu, saya terus terima. Saya berurusan dengan Rozi. Beliau bagitahu tujuannya dengan jelas. Saya ucap terima kasih dan sampaikan salam kepada Siti.

“Saya akan sokong apa sahaja yang beliau buat. Malah, bila cakap soal hantaran (bayaran), saya kata tak mengapa.

“Saya serahkan segala urusan itu kepada mereka asalkan saya dapat membantu,” katanya.

Dalam masa sama, Noraniza turut mengakui tetap berasa gementar untuk kembali berkongsi pentas bersama Siti biarpun sudah berpengalaman luas dalam industri muzik.

“Sebelum ini, kita sudah biasa menyanyi secara solo selama berpuluh tahun. Saya akui agak seram juga nak menyanyi dengan Siti Nurhaliza.

“Sejak saya membuat persembahan di SUKOM, saya memang amat mengagumi semangat Siti bila di pentas. Walaupun saya sudah lama berada di dalam industri, saya tak boleh nak capai semangat seperti beliau.

“Semangat itulah yang jadi inspirasi saya. Bila berkecimpung dalam muzik tradisional, kita bukan nak bersaing tapi kita nak martabatkan muzik ini ke satu tahap yang lebih tinggi,” akhirinya.

Konsert Tradisional Gema Bumantara dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf