Berita

“Terasa Seperti Mimpi…’ – Trisha Ooi Tewaskan Influencer Indonesia, Rangkul Tali Pinggang Juara Tinju Di Dubai!

Share

Selepas berbulan-bulan menjalani persiapan rapi, pelakon Trisha Ooi akhirnya berjaya mencipta kemenangan apabila menewaskan pempengaruh Indonesia, Dinda Anwar dalam perlawanan tinju kategori wanita ‘flyweight’ di acara All Star Championship Dubai Series, pada Ahad.

Kejayaan tersebut sekali gus membolehkan Trisha membawa pulang tali pinggang berprestij All Star Championship.

Menurut Trisha, kemenangan ini cukup bermakna buat dirinya selepas hampir setahun membahagikan masa antara latihan intensif dan komitmen sebagai anak seni.

“Saya berjaya bawa pulang tali pinggang ini ke tanah air. Alhamdulillah, kejayaan ini masih terasa seperti mimpi.

“Ini bukan sekadar pertarungan tapi hasil pengorbanan berbulan-bulan, disiplin, air mata dan usaha memaksa diri ke tahap yang saya sendiri tak pernah duga,” tulisnya.

Pelakon filem Janna Endoro itu berkongsi kegembiraannya menerusi satu hantaran di Instagram.

Pernah Ragu Pada Diri

Dalam pada itu, Trisha turut mengakui perjalanan menuju kemenangan bukan sesuatu yang mudah, malah dia pernah berdepan dengan cabaran mental yang hampir membuatkannya berputus asa.

“Ada kalanya saya berasa sangat penat, meragui diri sendiri dan mahu berhenti tapi saya berjaya tolak tepi perasaan itu.

“Pada malam ini, segalanya usaha saya berbaloi,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Trisha juga tidak lupa merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokongnya sejak awal hingga ke detik kemenangan.

“Kepada ibu dan semua orang yang menyokong, mendoakan dan percayakan saya, saya ingin ucapkan terima kasih dari lubuk hati yang terdalam.

“Anda memberikan saya kekuatan disaat saya amat memerlukannya. Kepada diri saya sendiri, terima kasih kerana tidak mahu mengalah,” kongsinya.

All Star Championship Dubai Series telah berlangsung di 10 Boxing Club, Dubai, Emiriah Arab Bersatu, menghimpunkan 16 pempengaruh dari pelbagai negara.

Ia termasuk Rusia, Maghribi, Singapura, Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Jepun dalam platform kompetitif berkonsepkan sukan tinju.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Sumber & Kredir Foto: Instagram Trisha Ooi

Published by
Aizam Manaf