Meski hanya sempat bersiaran bagi episod pertama pada Ahad lalu, program hiburan All Together Now Malaysia (ATNM), Astro kekal dengan keputusan menunda tayangan program hiburan terbaharu itu sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad menerusi Harian Metro berkata, pihaknya mahu memberi laluan kepada siasatan menyeluruh daripada semua pihak terbabit.

“Kami akan memaklumkan kepada semua tarikh baharu siaran apabila segalanya selesai,” katanya seperti yang dipetik.

Kenyataan itu bagi menjawab laporan media sebelum ini berkenaan tiada kertas siasatan dibuka oleh pihak polis susulan dakwaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh selebriti yang terbabit dalam rakaman ATNMY yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali yang dipetik sebagai berkata, selepas semakan dibuat, pihaknya mendapati rakaman program itu dibuat sebelum arahan PKP 3.0 dikuatkuasakan.

IKLAN

Terdahulu, tular di media sosial apabila program yang menampilkan 50 juri itu didakwa melanggar SOP sehingga memaksa pihak Majlis Keselematan Negara (MKN) mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan berkenaan susulan dakwaan pelanggaran SOP

Susulan itu, Astro dalam satu kenyataan pada 8 Jun lalu memutuskan untuk menghentikan sementara program terbabit sehingga siasatan berkaitan dakwaan berlakunya pelanggaran SOP selesai.

IKLAN

Menerusi kenyataan itu, Raqim berkata, rakaman program itu dibuat pada Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan PKP 3.0 dan kru terlibat sudah menjalankan ujian calitan Covid-19 ke atas semua yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula.

Hanya mereka yang berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman.

IKLAN

Raqim pada masa sama menjelaskan, set yang dibina mengambil kira penjarakan fizikal dan berjarak 1.5 meter antara setiap juri di samping penghadang lutsinar turut diletakkan bagi memisahkan mereka.

Difahamkan juga, rakaman program terbabit juga turut dihadiri wakil agensi-agensi keselamatan.

ATNMY memulakan siaran episod pertamanya pada 6 Jun lalu dan sepatutnya bersiaran setiap Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber: Harian Metro

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI