
Penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad, tampil memberikan penjelasan selepas ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘anak mak’.
Menurut Nubhan, dia dan ibunya yang sinonim disapa sebagai Mak Jenny, sering dilihat bersama kerana mereka kerap merakam konten media sosial untuk tujuan promosi bisnes.

“Tanpa doa mak, siapalah saya. Mungkin orang tengok saya banyak buat konten bersama mak tapi saya bukan hari-hari bersama mak.
“Saya rasa semua tahu yang Mak Jenny merupakan ahli perniagaan dan punyai produk sendiri. Jadi ramai yang jadikan perkara itu sebagai satu bahan untuk mengatakan saya ini anak mak.
“Dakwaan anak mak itu seperti saya ini 24 jam menempel dengan mak saya sahaja. Itu tidak benar. Di bawah Mak Jenny, bukan ada saya seorang sahaja. Ada ramai team dan ejen.
“Saya hanya jalankan tanggungjawab. Kalau saya keluarkan konten atau video dengan mak, itu adalah salah satu tuntutan kerja saya,” katanya kepada MH.
Dalam masa sama, Nubhan turut memohon agar ibunya tidak dikaitkan dengan isu perceraiannya bersama isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, yang kini masih berjalan di mahkamah.

“Mak Jenny okay sahaja. Dia sebenarnya tak tahu apa-apa. Mak saya ni, sembahyang Zohor pun kadang-kadang dua kali. Umur mak saya sudah 80 tahun.
“Dia sudah tidak larat dan tiada lagi rawatan yang sesuai untuk usianya. Jadi, jangan kaitkan mak saya dalam hal perceraian saya ini.
“Sehari sebelum saya naik mahkamah, saya maklumkan kepada mak yang saya bakal bercerai. Kata mak, dia tidak mahu campur urusan rumah tangga anak-anak.
“Katanya, kami sudah besar. Pandai-pandailah urus sendiri. Saya cuma minta doa mak sahaja. Saya hanya jalankan tanggungjawab. Saya anak lelaki.
“Tanggungjawab pada mak tidak akan putus. Malah, pada isteri dan anak-anak, tanggungjawab saya tetap ada. Jadi, dalam bab tanggungjawab ini, ia satu kemestian bagi saya,” ujarnya lagi.
“Rezeki Aturan Allah”
Dalam pada itu, penyanyi lagu Ada Cinta ini turut menzahirkan rasa reda apabila ada pihak yang mahu memboikot perniagaan ibunya, susulan isu rumah tangganya yang sedang hangat diperkatakan.

“Rezeki adalah aturan Allah. Saya terima apa yang berlaku pada saya. Ini adalah satu dugaan buat saya.
“Mak saya pun tak tahu apa-apa. Dia pun tak tahu yang dia dikecam dan ada yang berkata buruk.
“Sebenarnya, video yang saya buat dengan mak, dia sendiri tak tengok. Dia hanya menjadi diri sendiri. Jadi, jika ada pihak yang nak boikot, saya tak boleh paksa dan marah.
“Saya hanya doakan Allah lancarkan segala perjalanan. Dengan bisnes ini, mak saya dapat rasa satu nikmat yang lain setelah membesarkan kami lapan beradik.
“Ketika ini, apa yang mak saya nak, saya dapat tunaikan di usia mak yang sudah senja. Pada saya, itu satu kebahagiaan,” akhirinya.
Untuk rekod, Nubhan pernah melafazkan cerai kali pertama pada 2017 namun kembali rujuk tiga hari kemudian, sebelum perceraian kali kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.
Pasangan ini berkahwin pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, Ahmad Aaffan dan Afzan Nayille.
Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu, kes pengesahan lafaz cerai tersebut ditangguhkan ke 2 Disember depan, termasuk membincangkan permohonan Dr. Afifah untuk mengesahkan lafaz cerai kali pertama yang berlaku lapan tahun lalu serta proses rujuk selepas itu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




