
Penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad mendedahkan lagu ‘Niat Hati Tak Nak Berpisah’ yang disampaikannya pada konsert minggu ketujuh Gegar Vaganza 12 (GV12), Ahad lalu sebenarnya didedikasikan khas buat ibu tercinta.
Menurut Nubhan, sebagai anak lelaki, tanggungjawab terhadap ibu tidak akan pernah terhenti walau apa jua rintangan yang terpaksa dilalui dalam kehidupan.

“Jika mengikut kepada idea lagu itu, hidup kita ini punyai banyak rintangan. Pada saya, doa ibu itu sangat penting. Ibulah yang melindungi kita secara sedar atau tidak.
“Jangan sesekali perlekehkan atau melihat sosok seorang ibu itu sebagai pilihan kedua atau ketiga.
“Sebagai seorang lelaki, tidak akan pernah putus tanggungjawab kita kepada ibu,” katanya kepada MH.
Teguh Dengan Prinsip
Dalam masa sama, Nubhan turut mengulas situasi peribadi yang sedang dihadapinya apabila dia dan ibunya menerima pelbagai tohmahan susulan kemelut rumah tangga yang sedang berlaku.

Bagaimanapun, penyanyi ini memilih untuk kekal tenang dan berharap orang ramai mendoakan yang terbaik buat dirinya serta ibu.
“Apa sahaja yang orang nak kata, itu terpulang kepada mereka. Bagi saya, tanggungjawab saya pada ibu tidak akan pernah putus.
“Doakanlah yang terbaik buat kami dan kesihatan ibu. Semoga doa yang baik-baik itu berbalik kepada kalian juga,” ujarnya lagi.
Mengulas pujian juri yang merasakan Nubhan berjaya menyampaikan rasa lagu tersebut dengan baik, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-6 itu menyifatkan perkara tersebut sebagai tanggungjawab.

“Sebenarnya, tiada kisah yang tersembunyi pun. Saya hanya menyampai lagu itu mengikut tuntutan rasa lagu itu sahaja.
“Setiap minggu, saya akan cuba menyampaikan maksud dan penghayatan sesebuah lagu itu dengan baik agar sampai ke hati penonton.
“Jika penonton merasakan penghayatan yang saya bawakan itu, alhamdulillah itu bermakna saya berjaya. Kalau penonton tidak berasa apa-apa, itu bermakna saya perlu buat sesuatu,” akhirinya.

Pada konsert minggu ketujuh tersebut, Nubhan sekali lagi berjaya berada di kedudukan tiga terbaik apabila meraih markah sebanyak 69.00 peratus.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




