
Guru tari, Linda Jasmine memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai beberpa tuduhan berat melibatkan bekas suaminya yang juga pelakon, Que Haidar.
Menurut Linda, buat masa ini, dia hanya mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap perjalanannya bersama anak perempuan, Tengku Ratu Haidar di program Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2).
“Tak perlulah saya komen. Kita bercakap fasal Talk To My Manager sahaja,” jawabnya ringkas.
Linda berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas berakhir konsert minggu pertama TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Ditanya sama ada dia terbuka untuk melihat Que hadir ke program TTMM2 untuk memberikan sokongan kepada Ratu, Linda bagaimanapun kekal dengan pendirian untuk tidak memberikan sebarang komen.
“Saya tak tahu tentang hal itu. Saya tiada komen,” kongsinya.
Sebelum ini, nama Que menjadi perhatian susulan timbul beberapa dakwaan berat mengaitkan dirinya.
Dakwaan-dakwaan seperti itu dikatakan timbul selepas netizen membuat tinjauan di akaun media sosial Linda.
Sejak itu, pelbagai spekulasi mula bertebaran lebih-lebih lagi hal berkaitan punca perceraiannya bersama Que
Dalam pada itu, Linda berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh Ratu di konsert pertama TTMM2 walaupun berada di kedudukan tiga terendah.
“Ini merupakan kali pertama Ratu membuat persembahan di pentas besar. Saya sangat berpuas hati tapi sudah tentu ada ruang untuk diperbaiki.
“Apapun, saya tetap bangga dengan Ratu,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Linda turut mengulas mengenai komen segelintir pihak yang mempersoalkan kemampuan Ratu untuk menyanyikan lagu di dalam Bahasa Melayu.
“Jika ada yang kata Ratu menyanyi seperti mat salleh yang cuba nak bercakap Bahasa Melayu, nak buat macam mana? Memang itulah diri dia.
“Persembahan itu mungkin nampak sedikit kosong. Konsep sebenarnya akan ada rumah kampung, beranda dan tangga tapi kami tak dapat semua itu,” kongsinya.
Untuk rekod, Linda dan Que mendirikan rumah tangga pada 2009 sebelum sah bercerai pada Julai 2024.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar.
TTMM2 dikendalikan oleh pengacara legenda Aznil Nawawi, bersama barisan juri iaitu Datuk AC Mizal dan Sarimah Ibrahim.
Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis di bawah seliaan masing-masing.
Saksikan konsert TTMM setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam selain turut boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini