
Pelakon Aniq Suhair menyahut cabaran baharu dalam karier lakonannya apabila perlu menguasai dialek Perak bagi menjayakan watak Mamat menerusi drama romantik komedi terbaharu, Ate Kome I Love You.
Demi memastikan watak yang dibawakan tampil lebih autentik dan dekat dengan masyarakat Perak, Aniq mengikuti kelas intensif dialek Perak selama lima hari sebelum penggambaran bermula.
Malah, sepanjang 30 hari di lokasi, Aniq turut membiasakan diri bertutur menggunakan dialek tersebut hampir setiap hari bagi memastikan sebutan serta intonasinya kedengaran semula jadi di hadapan kamera.
Menariknya, walaupun dilahirkan di Taiping, Perak, Aniq mengakui dia masih perlu membuat persediaan rapi untuk memahami perbezaan sebutan, intonasi dan lenggok bahasa yang digunakan dalam drama berkenaan.
“Ramai menyangka semua orang Perak bercakap dengan loghat yang sama. Hakikatnya, terdapat banyak perbezaan mengikut kawasan dan latar masyarakat.
Walaupun saya berasal dari Taiping, saya sudah lama menetap dan bekerja di Kuala Lumpur. Dialek Taiping pula ada pengaruh utara yang agak dekat dengan Kedah dan Pulau Pinang.
“Berbeza dengan dialek Kuala Kangsar yang lebih beralun, berirama dan lebih lembut. Ada juga perkataan-perkataan yang saya sendiri tidak biasa gunakan seperti ‘raban teben’ dan ‘tumpor’.
“Jadi saya mahu memastikan sebutan dan cara percakapan yang digunakan dalam drama ini benar-benar tepat dan tidak kedengaran dibuat-buat,” katanya.
Selain menghadiri kelas intensif, Aniq turut membuat kajian sendiri dengan menonton pelbagai kandungan digital, filem dan karya yang menggunakan dialek Perak bagi membiasakan diri dengan ritma serta gaya pertuturan masyarakat negeri itu.
Antara rujukan utamanya ialah karya-karya Allahyarham Mamat Khalid yang disifatkannya sebagai antara pengkarya paling berjaya merakam keunikan budaya, humor dan jiwa masyarakat Perak ke layar.
Menurut Aniq, dia memandang serius tanggungjawab tersebut kerana menyedari penonton hari ini semakin peka terhadap keaslian sesuatu watak, khususnya apabila melibatkan identiti budaya dan bahasa tempatan.
“Saya tidak mahu sekadar bercakap dalam loghat itu. Saya mahu orang Perak sendiri merasakan watak ini benar-benar hidup dan dekat dengan mereka.
“Apabila saya mula bertutur dalam dialek Perak setiap hari sepanjang penggambaran, saya mula memahami keunikan dan keindahan bahasa tersebut.
“Ada banyak perkataan dan cara penyampaian yang sangat mencuit hati serta mempunyai identitinya yang tersendiri.
“Saya tak berani nak kata menjadi, tapi saya memang dah cuba yang terbaik. Sampai ada masa saya terbawa-bawa dialek Perak di luar set juga.
“Jadi kalau ada yang kurang, saya harap orang Perak boleh maafkan saya. Kalau ada yang menjadi, saya anggap itu kredit untuk semua yang banyak membantu saya sepanjang penggambaran.” katanya lagi.
Dalam masa sama,
Ate Kome I Love You turut menjadi pengalaman yang cukup bermakna buat Aniq apabila berpeluang bergandingan dengan bintang senior, Amy Mastura.Menurutnya, peluang bekerja bersama figura kesayangan ramai itu merupakan satu pengalaman berharga dalam perjalanan seninya sebagai seorang pelakon.
“Saya membesar dengan melihat karya-karya Kak Amy. Dia anak seni yang sangat merendah diri dan baik.
“Jadi apabila diberi peluang untuk berkongsi set dan belajar secara langsung daripada beliau, saya merasakan ia satu penghormatan yang sangat besar.
“Bagi saya, Amy Mastura bukan sekadar pelakon, tetapi seorang ikon yang telah menghiburkan rakyat Malaysia hampir 3 dekad.
“Tambahan pula, Kak Amy juga banyak membantu saya memahami budaya dan penggunaan dialek Perak sepanjang penggambaran. Sangat profesional dan sentiasa mewujudkan suasana kerja yang positif di set,” katanya.
Baca Artikel Lain;
Menerusi Ate Kome I Love You, Aniq membawakan watak Mamat, seorang penghantar makanan berasal dari Kuala Kangsar yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mencari kehidupan yang lebih baik.
Dalam usaha mengejar impian dan membina kehidupan baharu, Mamat tanpa disangka menemukan persahabatan, cabaran serta cinta yang akhirnya mengubah kehidupannya.
Mengangkat kisah cinta, kekeluargaan dan persahabatan dalam latar masyarakat Perak, drama 12 episod itu turut mengetengahkan keunikan bahasa serta budaya tempatan sebagai nadi utama penceritaannya.
Selain Aniq, drama terbitan Zeel Production itu turut dibintangi Bella Dowanna, Nurel Baharin, Ieda Moin, Usop Wilcha, Amy Mastura, Reza Hasbi, Aidit Noh dan ramai lagi.
Ate Kome I Love You mula ditayangkan bermula 25 Jun menerusi platform penstriman Viu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.