Berita

“Tahun Lepas, Saya Memang Banyak Patah Hati. Jadi…,” – Zaki Yamani

Share

Penyanyi Zaki Yamani menyifatkan single terbaharunya, Akur, sebagai hadiah buat individu yang pernah berasa dipandang rendah atau tidak cukup dihargai dalam sesebuah hubungan percintaan.

Menurut Zaki, pengalaman melalui fasa patah hati sepanjang tahun lalu turut menjadi antara inspirasi yang mendorongnya untuk lebih menghayati mesej dibawa lagu berkenaan.

“Tahun lepas, saya memang banyak patah hati. Jadi, ini adalah hadiah daripada saya buat orang di luar sana yang merasakan diri mereka kurang di mata pasangan masing-masing.

“Bila saya lihat lirik lagu ini, secara kasarnya ia menceritakan tentang status yang tidak sama. Itulah apa yang saya bayangkan,” katanya kepada MH.

Anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharu, Akur, baru-baru ini.

Zaki Pilih Muzik Sebagai Medium Luahan

Jelas Zaki lagi, dia sebenarnya lebih selesa meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati menerusi penulisan dan karya muzik berbanding menceritakannya kepada individu lain.

“Saya belum pernah lagi lalui pengalaman percintaan diantara dua darjat. Apa yang pernah saya lalui adalah apabila segala usaha kita selama ini tidak pernah dipandang atau dihargai.

“Tipulah kalau kata saya tak pernah bercinta. Saya percaya kita semua pernah melalui fasa jatuh cinta. Ini merupakan antara sebab mengapa saya melancarkan lagu ini.

“Saya tidak tahu nak meluahkan pada siapa. Nak bagitahu ibu, segan pula nak cakap soal percintaan.

“Sejak dahulu lagi, saya tidak suka menunjukkan kesedihan. Saya akan tunjuk menerusi lagu,” kongsinya lagi.

Dalam masa sama, Zaki optimis mahu sentiasa positif dan tidak pernah patah semangat untuk terus menghasilkan karya baharu.

Malah, dia menganggap setiap lagu yang dilancarkan sebagai sebahagian daripada prosesnya untuk terus berkembang dalam industri muzik.

Baca Artikel Lain; 

https://www.mediahiburan.my/apa-yang-bapa-amalkan-dia-turunkan-kepada-saya-ibu-susun-perjalanan-seni-zaki-yamani-tekankan-disiplin-jaga-penampilan/

“Perasaan nervous itu akan sentiasa ada. Saya sudah bergiat aktif dalam dunia nyanyian sejak usia 13 tahun. Bercakap soal lagu hits pula, saya ada lebih kurang tiga buah lagu.

“Itu pun ada yang lagu duet. Bila lancarkan lagu solo, beratnya memang saya tanggung seorang. Saya harap para pendengar dapat menerima karya-karya saya.

“Jika pendengar kurang suka, saya akan terus mencuba lagi. Usia saya pun masih muda. Saya belum ada hasrat untuk berhenti,” kongsinya lagi.

Belum Bersedia Cipta Lagu Untuk Penyanyi Lain

Ditanya sama ada dirinya bersedia untuk menulis lagu buat penyanyi lain, Zaki berkata, buat masa ini dia lebih selesa menghasilkan karya untuk dirinya sendiri.

“Ketika ini, saya lebih selesa menulis lagu untuk diri sendiri. Untuk orang lain pula, saya belum bersedia. Saya meraskaan lirik saya tidak bersesuai dengan jiwa orang lain.

“Saya tahu di mana kemampuan lirik saya. Mungkin dalam masa lima tahun lagi saya sudah bersedia.

“Buat masa sekarang, saya mahu fokus pada diri sendiri dan perbaiki skil, barulah saya tulis lagu buat orang lain,” akhirinya.

Terdahulu, Zaki baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Akur yang juga hasil ciptaan bersama Bunga dan Amzar Razqa.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf