Berita

Taanusiya Chetty Dari Bilik Darjah Ke Pentas Miss World, Kini Terbuka Ceburi Dunia Lakonan – “Saya Perlu Bawa Beg Solekan, Bersiap Dalam Kereta…”

Share

Ratu cantik Malaysia/World 2026, Taanusiya Chetty menyifatkan kehidupannya sebelum ini seolah-olah seperti kisah Cinderella apabila perlu menjalani dua dunia berbeza dalam satu masa.

Menurut Taanusiya, sebelum ini dia merupakan seorang guru dan rutin hariannya bermula seperti individu biasa tanpa sebarang persiapan glamor.

“Pada waktu pagi, saya akan ke sekolah dengan pakaian biasa tanpa solekan dan mengajar seperti guru lain.

“Namun selepas tamat waktu persekolahan, saya akan menukar penampilan sepenuhnya.

“Saya perlu membawa beg solekan dan bersiap di dalam kereta sebelum menghadiri sebarang acara.

“Jadi, ia benar-benar seperti kisah Cinderella. Siang dan malam ialah dua orang yang berbeza,” katanya kepada MH.

Taanusiya berkata demikian ketika ditemui di NU Ideaktiv, Shah Alam, pada Rabu.

Dalam pada itu, guru Bahasa Inggeris ini turut mendedahkan para pelajarnya kini lebih berminat untuk mengetahui mengenai kehidupannya, terutama selepas melihat kejayaan melakar sejarah buat negara tercinta.

“Ramai juga pelajar yang melihat saya melalui media sosial. Mereka mempunyai rasa ingin tahu tentang bagaimana saya mampu usaha seimbangkan kerjaya.

“Itu antara perkara yang saya harap dapat membuka mata mereka juga.

“Saya mahu para pelajar tahu bahawa mereka boleh mempunyai impian yang besar, walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza,” jelasnya lagi.

Taanusiya pada masa sama mengakui terharu apabila menerima komen daripada pengguna media sosial yang mendakwa pernah menjadi anak muridnya.

“Saya ada melihat komen di TikTok yang mengatakan saya merupakan guru mereka.

“Saya rasa sangat bersyukur dapat mengajar murid-murid dari latar belakang yang berbeza dan mereka juga gembira.

“Jika ada masa, saya ingin kembali ke sekolah yang pernah saya mengajar untuk saling berkongsi kata-kata motivasi,” kongsinya.

Terbuka Ceburi Bidang Lakonan

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Taanusiya juga tidak menolak peluang untuk menceburi bidang lakonan sekiranya diberi peluang.

“Saya berminat untuk membintangi naskhah berteraskan kekeluargaan yang membawa mesej motivasi, atau watak yang boleh menjadi inspirasi.

“Mungkin juga watak yang dekat dengan pengalaman hidup saya sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, jelitawan ini turut mengakui cenderung terhadap genre aksi dan pengembaraan.

“Buat masa ini belum ada tawaran, namun sebelum saya ke Vietnam, pernah ada peluang yang terpaksa saya tolak kerana komitmen pertandingan.

“Kini, jika ada tawaran yang bersesesuain, saya bersedia memberikan komitmen dan tidak akan menolak jika kena dengan masanya” katanya lagi.

Terdahulu, Taanusiya Chetty dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam pertandingan berprestij, Miss World 2026 yang berlangsung di Nha Trang, Vietnam.

Untuk rekod, wanita tinggi lampai ini berasal dari Kuala Lumpur yang bergelar seorang guru Bahasa Inggeris, model dan aktivis dengan latar belakang pendidikan Teaching English as a Second Language (TESL).

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza