
Tahun pertama kemunculan semula penyanyi rock T-REX terus dipenuhi dengan pelbagai kejutan apabila tampil dengan karya terbaharu berjudul ‘JIWA MERDEKA’, sebuah lagu khas sempena sambutan Hari Kebangsaan yang membawa mesej kecintaan terhadap tanah air, perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.
Menandakan kemunculan semulanya menerusi karya original, ‘JIWA MERDEKA’ merupakan lagu Hari Kebangsaan pertama yang dibawakan oleh penyanyi berpengalaman itu.
Dengan identiti muzik rock yang menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya, T-REX mempersembahkan karya yang ringkas, mudah dihayati dan sarat dengan semangat patriotisme.
Menurut T-REX, ‘JIWA MERDEKA’ bukan sekadar sebuah lagu sempena Hari Kebangsaan, malah menjadi medium untuk meluahkan rasa cinta dan kebanggaannya terhadap Malaysia.
“Ini merupakan lagu Hari Kebangsaan pertama saya. Bagi saya, Merdeka bukan sekadar satu sambutan yang diraikan setiap tahun, tetapi sesuatu yang dekat di hati kita sebagai rakyat Malaysia.
“Melalui ‘JIWA MERDEKA’, saya ingin menyampaikan semangat kebersamaan dan mengajak semua untuk sama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan penuh rasa bangga dan gembira,” katanya.
Dengan rangkap seperti “Bulan lapan, tiga puluh satu”, lagu itu mengajak pendengar menghayati semangat Hari Kebangsaan sambil meraikan makna kemerdekaan yang terus hidup dalam jiwa rakyat Malaysia.
T-REX memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang persembahan dan 25 tahun perjalanan dalam industri muzik.
Dia sebelum ini turut dikenali sebagai bekas vokalis utama kumpulan Kamikaze dengan lagu-lagu popular seperti ‘Luhur’, ‘Tawa Dalam Tangisan’ dan ‘Pergi Selamanya’, yang masih diminati peminat sehingga hari ini.
Menerusi ‘JIWA MERDEKA’, T-REX membuka lembaran baharu dalam perjalanan muziknya dengan membawakan semangat patriotisme menerusi identiti rock yang menjadi kekuatannya.
Projek ini sekali lagi diterajui daripada aspek konsep kreatif dan perancangan oleh Melissa Ng, yang turut bertindak sebagai penulis lirik, komposer dan penerbit lagu.
Menurut Melissa Ng, idea utama di sebalik ‘JIWA MERDEKA’ adalah untuk menghasilkan sebuah lagu Hari Kebangsaan yang ceria, santai dan mudah dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Bagi saya, sambutan Hari Kebangsaan sepatutnya diraikan dengan perasaan gembira dan penuh semangat. Sebab itu, kami mahu ‘JIWA MERDEKA’ membawa suasana yang lebih santai, ceria dan mudah dinyanyikan bersama,” katanya lagi.
Walaupun proses produksi dan pelaksanaan keseluruhan projek berdepan beberapa cabaran, setiap perancangan berjaya disempurnakan hasil kerjasama semua pihak yang terlibat.
Baca Artikel Lain;
Lagu ini ditulis, digubah dan diterbitkan oleh Melissa Ng, manakala susunan muzik dihasilkan oleh Melissa Ng bersama Yon Iskandar. Proses mixing dan mastering pula dikendalikan oleh Yon Iskandar.
Video muzik (MV) ‘JIWA MERDEKA’ turut menampilkan elemen persembahan, pemuzik dan penari bagi menghidupkan lagi semangat lagu tersebut.
Video muzik itu memperlihatkan T-REX bersama barisan pemuzik dan 14 orang penari, sekali gus menyuntik visual yang lebih meriah bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Fareeq Alias bertindak sebagai pengarah, manakala produksi video dikendalikan oleh Stereo Pixels.
Melissa Ng pula mengetuai konsep kreatif projek selain bertanggungjawab terhadap reka bentuk kostum bertemakan Hari Kebangsaan serta imej dan gaya T-REX dalam video muzik berkenaan.
Lagu tersebut kini boleh distrim menerusi platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.