Lazimnya, kedatangan 1 Syawal di sambut dalam suasana yang penuh meriah, namun berbeza pula buat pelakon berbakat besar, Sweet Qismina.

Hal ini kerana, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Hikayat Putera Shazlan ini terlibat dalam kemalangan ngeri sekali gus menjadi penyebab kepada kematian kakaknya, Farhanna Qistina,dua tahun lalu.

Mengakui masih trauma, pemilik nama penuh Farhanna Qismina Supandi ini bagaimanapun reda dengan suratan takdir yang ditetapkan.

“Sejujurnya, saya masih terkesan lagi dengan peristiwa yang telah berlaku walaupun dah dua tahun berlalu.

 

“Dan… semuanya masih terasa segar dalam ingatan, bagaikan baru saja terjadi,” katanya pada Media Hiburan.

Lebih terkesan, anak keempat daripada lima beradik ini bukan sahaja kehilangan kakaknya tetapi juga seorang rakan baik.

“Hubungan saya dan kakak sangat rapat memandangkan jarak umur yang tak jauh beza.

 

“Malah, saya dan dia juga selalu meluangkan masa bersama-sama tak kiralah dalam apa-apa aktiviti sekalipun.

 

“Kami bukan saja membesar sama-sama bahkan kami juga berkongsi dalam semua perkara. Kakak bagaikan rakan baik saya.

 

“Sebab itu kehilangan dia secara mengejut menyebabkan saya bagaikan hilang kata-kata,” katanya.

 

IKLAN

Akibat kejadian itu, Sweet Qismina mengakui sambutan Syawalnya menjadi semakin tawar dan hambar.

Tambahan pula, bapanya, Supandi Mohammad telah dijemput Ilahi akibat serangan jantung, hampir 10 tahun lalu.

 

IKLAN

“Jika sebelum ini, saya dan keluarga hanya menziarahi pusara bapa, tetapi kini ada dua kubur perlu dilawati.

 

“Sebab itu, kami hanya berada di Kuala Lumpur pada hari raya pertama.

 

“Lebaran juga hanya disambut secara ala kadar saja lebih-lebih lagi selepas kematian kakak,” katanya.

Bahkan, pelakon drama bersiri Misteri Wan Peah ini mengakui jiwanya terasa kosong apabila menyambut hari kemenangan umat Islam itu lantaran teringatkan ahli keluarga yang telah tiada.

“Saya reda dengan apa yang terjadi tetapi tak boleh mengelak daripada berasa sedih dan sayu setiap kali tibanya Syawal.

 

“Sebab itu, saya tak mampu untuk beraya sakan pada hari raya pertama kerana kemalangan itu masih melekat dalam fikiran,”katanya.

 

Bagaimanapun, pelakon Cinta Masam Manis ini tetap pulang beraya di Muar, Johor dan Sekinchan, Selangor bertujuan untuk menziarahi sanak-saudara yang lain.

 

IKLAN

CH: Fokus pengajian

Dalam pada itu, biarpun sedang berada di puncak populariti, Sweet Qismina lebih selesa untuk memberi sepenuh perhatian terhadap soal pendidikannya.

Kini, selebriti berusia 20 tahun ini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti SEGI.

“Saya lebih selesa membuat satu-satu perkara pada satu-satu masa.

 

“Dan… sekarang, saya hanya mahu menghabiskan pengajian terlebih dulu

.

“Saya yakin pada rezeki dan langsung tiada rasa ralat kerana mengutamakan ilmu,” katanya yang sebelum ini dikenali sebagai Sweet Farhana.

Bahkan, katanya, keluarganya juga begitu mementingkan soal pendidikan biarpun agak terbuka dalam soal seni.

“Buat masa ini, saya akan memperlahankan aktiviti berlakon untuk lebih berfokus dalam pelajaran.

 

“Saya hanya akan berlakon mengikut kesesuaian masa,” katanya. Atas faktor itu, pelakon drama bersiri Sayang Papa Saya Tak  ini lebih selesa menjadi pengacara kerana jadual yang fleksibel dan tidak menuntut tempoh komitmen panjang.

 

Dalam perkembangan lain, Sweet Qismina sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 50 episod, Cinta Koko Coklat.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI