Berita

“Sudah Tentu Saya Fikirkan Tanggapan Orang, Namun…,” – Aliff Aziz Tak Peduli Persepsi Berlakon Drama Poligami, Anggap Watak Adli Bahar Sebagai Rezeki

Share

Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz tidak menafikan pada awalnya dia risau untuk menjayakan watak Adli Bahar menerusi drama terbaharu, Racun Dan Madu yang mengangkat kisah berkaitan hubungan poligami.

Bagaimanapun, Aliff percaya setiap watak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang pelakon perlu dijayakan sebaik mungkin tanpa membiarkan pandangan peribadi atau tanggapan orang lain mengganggu tugasnya sebagai anak seni.

Bezakan Aliff Aziz Sebagai Manusia & Pelakon

Menurut Aliff, dia perlu galas tanggungjawab sebaik mungkin terhadap sesebuah watak yang dibawa.

“Sebagai manusia, sebenarnya kerisauan itu memang ada. Namun, saya harus membezakan diantara Aliff Aziz sebagai seorang manusia dan pelakon.

“Tugas dan amanah yang diberikan kepada seseorang pelakon itu adalah untuk menjayakan watak. Watak ini adalah fiksional. Adli Bahar ini tidak wujud.

“Sudah tentu saya memikirkan tanggapan orang lain bila saya bawakan watak ini. Namun, segalanya di luar kawalan saya. Saya sudah berikan yang terbaik untuk bawakan watak ini.

“Itu sudah cukup buat saya. Selebihnya saya berdoa semoga penonton-penonton dapat menghayati drama ini dengan minda dan hati yang terbuka,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Sayang Sayang itu berkata demikian ketika ditemui pada acara sidang media drama Racun Dan Madu, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Aliff memaklumkan dia tidak mampu mengawal persepsi orang ramai terhadap dirinya.

“Yang mereka nampak di skrin itu adalah Adli Bahar. Saya hanya seorang kanvas untuk mewarnai watak itu.

“Namun, saya tak mampu nak minta penonton untuk asingkan perasaan mereka terhadap saya dan watak.

“Bagi sesetengah orang, bila mereka suka, mereka akan terima. Kalau tak suka, kita buat apa sekali pun, mereka tetap tak suka. Ada orang tanpa sebab pun, boleh tak suka kita.

“Daripada saya memikirkan perkara itu, ia seperti tak berguna. Orang tetap akan berfikir apa yang mereka mahu fikir. Saya sentiasa berpegang bahawa rezeki ini datang daripada Allah,” ujarnya lagi.

“Kalau Betul Nak Mengelak, Saya Tidak Akan Buat Drama Ini”

Berkongsi mengenai keadaan dirinya ketika ini, Aliff berkata mentalnya berada dalam keadaan yang lebih baik dan dia memilih untuk menerima segala pandangan yang diberikan terhadap dirinya secara terbuka.

“Ketika ini, mental saya berada dalam keadaan lebih baik. Pada saya, setiap orang berhak memberikan pandangan. Bagi saya pula, bila Allah memberikan saya rezeki, itu bermakna ia memang untuk saya.

“Saya akan buat dan hargainya sehabis baik. Tak kiralah sama ada orang suka atau tidak. Itu adalah lumrah dalam industri kita. Saya tak dapat nak fikirkan tentang tanggapan orang lain.

“Topik yang dibincangkan di dalam drama ini sangat sensitif. Saya faham ada segelintir orang akan kaitkan kisah ini dengan saya. Saya tak rasa pun nak mengelak.

“Kalau betul nak mengelak, saya tidak akan buat drama ini. Itu bermakna saya menolak rezeki. Saya tenangkan diri dan bawa pemikiran itu ke set. Kalau saya fikirkan sangat tanggapan orang, watak ini tidak akan menjadi,” akhirinya.

Drama Madu Dan Racun arahan Eyra Rahman ini bakal ditayangkan di platform penstriman iQIYI bermula 14 Ogos ini.

Selain Aliff, drama ini turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Uqasha Senrose, Elisya Sandha dan Liza Abdullah.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH