Hiburan

“Suami Pun Selalu Ingatkan Saya Agar Tidak Stres,” – Amira Othman Kini Dalam Proses Diet Selepas Bersalin, Ambil Berat Rutin Berpantang

Share

Pelakon dan penyanyi, Amira Othman mendedahkan dirinya kini masih dalam proses menjaga diet bagi mendapatkan semula berat badan ideal selepas selamat melahirkan cahaya mata sulung, Muhammad Jarir Umar, Jun lalu.

Menurut Amira, selepas bersalin, dia menitikberatkan rutin berpantang selain memastikan dirinya tidak terlalu tertekan memikirkan soal perubahan fizikal dan perkara-perkara lain.

“Sejujurnya berat badan saya belum turun sepenuhnya seperti yang saya mahukan. Ibu saya seorang yang tegas. Jadi, saya kena ikut setiap proses berpantang itu dengan betul.

“Dalam masa sama, saya juga tidak mahu stress. Saya rasa itulah perkara paling penting ketika berpantang. Kita tak mahu emosi dan mental terkesan.

“Suami saya pun selalu ingatkan saya agar tidak stress. Apa-apa pun kena bertenang. Alhamdulillah saya ada sistem sokongan yang baik. Ketika ini, saya masih lagi dalam proses diet,” katanya kepada MH.

Isteri kepada pelakon Fattah Amin itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), baru-baru ini.

Amira Hargai Sokongan Peminat, Faham Privasi Anak

Sementara itu, Amira bersyukur kerana dikurniakan peminat dan orang-orang sekeliling yang memahami pendiriannya untuk menjaga privasi anak, khususnya dalam soal pendedahan wajah cahaya mata sulungnya kepada umum.

“Buat masa ini, kalau ada yang ternampak wajah anak, mereka pun faham kerana kami belum mendedahkannya kepada umum.

“Satu hari nanti, bila kami sudah kongsikan dan ada yang nak muat naik di media sosial, itu saya tidak boleh kawal.

“Saya yakin, para peminat pasti akan faham tentang privasi dan apa yang boleh dan tidak. Rasanya dalam hal ini tiada isu pun,” ujarnya.

Diminta mengulas mengenai wajah cahaya mata sulungnya, Amira Othman mengakui agak sukar untuk menggambarkan rupa si kecil memandangkan perubahan pada wajah bayi berlaku dengan begitu cepat.

“Saya pun tak tahu nak terangkan bagaimana. Pada ketika ini, wajah bayi cepat berubah. Kadang-kadang orang kata wajahnya seperti Fattah. Ada hari mereka kata wajahnya seperti saya.

“Ada masa mereka kata wajahnya bercampur pula. Mungkin kita kena tunggu ketika wajahnya didedahkan nanti. Ketika itu, anda boleh menilai sendiri wajahnya seperti siapa,” kongsinya lagi.

Teruja Jalani Kehidupan Jadi Ibu, Fattah Banyak Membantu

Dalam masa sama, penyanyi lagu Hati-Hati itu mengakui seronok menjalani kehidupan sebagai ibu, lebih-lebih lagi apabila dapat merasai sendiri pengalaman menguruskan cahaya mata bersama suami.

Menurut Amira, meskipun Fattah kini sibuk menjalani penggambaran, suaminya itu tetap banyak membantu setiap kali mempunyai kelapangan.

“Ketika ini, Fattah memang sedang menjalani penggambaran drama berepisod selama hampir tiga bulan. Namun, Fattah merupakan bapa yang sangat membantu.

“Bila tiada hari penggambaran dan dia pulang, dia akan bantu saya. Dalam masa sama, kita juga ada gunakan khidmat baby
sitter. Kalau saya kena keluar bekerja, babysitter akan ambil alih.

“Setidaknya anak saya dalam keadaan terjaga. Ada kalanya kami berdua kena keluar bekerja. Bagimanapun, saya dan Fattah akan sentiasa bersama-sama untuk berikan yang terbaik untuk menjaga bayi kami,” akhirinya.

Sekadar informasi, Amira dan Fattah telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 14 September 2025.

Amira selamat melahirkan cahaya mata pertamanya pada 23 Jun lepas.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf