
Pelakon Anzalna Nasir, berkongsi pandangan mengenai sikap sombong yang semakin kerap diperkatakan sejak kebelakangan ini, khususnya melibatkan golongan artis di media sosial.
Menurut Anzalna atau nama sebenarnya, Nur Anzalna Md Nasir, persepsi tersebut tidak seharusnya hanya ditujukan kepada selebriti semata-mata.
Ini kerana pada hakikatnya, sesiapa sahaja boleh memiliki sikap sedemikian tanpa mengira latar belakang.
“Kebelakangan ini asyik terbaca fasal artis yang sombong. Namun, ada kalanya bukan artis sahaja. Sesiapa pun boleh jadi macam itu,” tulisnya.
Pandangan itu disuarakan oleh ibu kepada dua cahaya mata tersebut menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.
Dalam pada itu, Anzalna turut berpendapat, tiada alasan untuk seseorang bersikap sombong kerana dalam setiap aspek kehidupan, pasti akan ada individu lain yang lebih hebat.
“Kadang-kadang terfikir juga, kenapa nak kena jadi sombong? Kalau rasa diri kaya, akan sentiasa ada yang lebih kaya.
“Kalau rasa diri cantik, ada lagi yang lebih cantik. Kalau rasa diri pandai, ada yang lebih bijak,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Anzalna juga berseloroh bahawa dirinya tidak terkecuali daripada memberi reaksi terhadap layanan orang lain, terutamanya apabila berdepan dengan sikap dingin yang berulang kali.
“Tapi kalau orang sombong dengan saya walaupun dah 10 kali jumpa, saya mungkin akan layan balik ikut energi mereka,” selorohnya.
Terdahulu, ramai pengguna media sosial mulai berkongsi pengalaman peribadi ketika bertemu artis di luar.
Ada yang berkongsi pengalaman manis, namun tidak kurang juga yang meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir artis yang didakwa agak sombong.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram & Threads Anzalna Nasir