
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada petang Khamis ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Menurut pengurusnya iaitu Rozi Abdul Razak, kejadian tersebut berlaku selepas mereka selesai mengadakan persembahan di Sepang.
“Ramai yang menghubungi bertanyakan keadaan Siti. Kami menaiki dua buah kenderaan selepas selesai persembahan di RedQ AirAsia Sepang.
“Ketika melalui Lebuhraya MEX di KM14.2, berlaku kemalangan membabitkan empat buah kenderaan termasuk kereta yang dinaiki Siti.
“Kereta saya berada beberapa kenderaan di belakang. Kami segera membawa Siti keluar dari kenderaan yang terlibat kemalangan dan membawanya ke dalam kereta kami,” katanya.
Rozi berkongsi kejadian tersebut menerusi hantaran di Instagram Story miliknya, sebentar tadi.
Dalam perkembangan sama, Rozi memaklumkan penyanyi yang terkenal dengan lagu Menamakanmu Cinta itu telah ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Siti telah dibawa ke hospital dan mengalami lebam serta bengkak pada bahagian kaki. Alhamdulillah, keadaannya selamat. Terima kasih atas doa semua,” kongsinya.
Terdahulu, tular di aplikasi Threads beberapa paparan yang menunjukkan Siti berada di tepi lebuh raya bersama pembantunya.
Difahamkan, kenderaan yang dinaikinya turut mengalami kerosakan dalam kejadian tersebut.
Hasil tinjaun menerusi platform media sosial milik Siti, ibu kepada dua cahaya mata itu memuat naik hantaran di Instagram Stories dengan kapsyen ‘Alhamdulillah’.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini