Sejak kebelakangan ini, nama Helena mula melatari beberapa gambar yang dimuat naik oleh pelantun Jampi ini di laman Instagramnya.

Sehingga ada peminat yang kecewa kerana menyangkakan Hael Hussaini sudah pun mendirikan rumah tangga dan bergelar bapa.

Bagaimanapun Hael yang ditemui baru-baru ini menjelaskan, Helena adalah anak angkat yang diambil dari sebuah keluarga bulan lalu.

“Alhamdulillah saya anggap ini rezeki berganda yang ALLAH SWT kurniakan kepada saya selepas lagu Jampi diterima ramai.

“Bagaimanapun buat masa ini saya belum boleh berkongsi lanjut mengenai anak ini kerana ia masih lagi dalam proses dokumentasi.

“Tapi bila semuanya dah selesai, saya akan kongsikan lebih lanjut mengenainya,” katanya.

IKLAN

Tambah Hael, 30, kehidupannya kini berubah 360 darjah dan dia harus membahagi masa terhadap anak dan kerjayanya itu.

“Helena masih kecil dan masih perlukan perhatian. Tidak dinafikan hidup saya memang berubah secara total.

“Namun saya bernasib baik kerana keluarga juga banyak membantu menjaganya, lebih-lebih lagi ketika saya keluar bekerja,” katanya.

IKLAN

Ditanya mengenai persiapan rayanya, lebih-lebih lagi dengan kehadiran si kecil, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi berkata, dia hanya membuat persiapan secara sederhana sahaja.

“Bila pergi membeli-belah memang geram tengok macam-macam baju, tapi sebabkan Helena masih kecil, jadi tidak banyak sangatlah pilihan yang ada.

“Untuk family semua dah settle, saya memang dahulukan mereka dan akan pulang berhari raya di Seri Menanti, Negeri Sembilan,” ujarnya.

IKLAN

Sementara itu, berkongsi perkembangan kariernya selepas bergerak solo, Hael berkata, perjalanannya kini bertambah baik dan dia juga mempunyai peminat baru.

“Tidak dinafikan selepas awal-awal bergerak solo, memang agak sukar.

“Tapi saya percaya pada rezeki, saya buat kerja saya, saya menyanyi, buat lagu dan kalau ia rezeki saya, ia akan datang sendiri.

“Dan Alhamdulillah mungkin sekarang memang rezeki saya dan buat masa ini saya mahu fokus kepada lagu Jampi, di samping buat lagu untuk artis-artis lain juga,” jelasnya.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI