Pelawak dan penyampai Suria FM Shuib sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya, Watie Hanafiah, 35, pertengahan tahun ini.
Shuib, 39, bagaimanapun berkata, urusan berhubung perkara tersebut masih dalam perancangan dan berjanji akan berkongsi kepada ramai apabila tiba masa sesuai.
“Saya berniat (mendirikan rumah tangga) pada pertengahan tahun ini. Insya-Allah yang terperinci akan kongsikan nanti,” katanya.
Shuib berkata demikian ketika ditemui pada siri Jelajah Suria Anggun Cotton Collection di Kuantan City Mall, pada Sabtu.
Mengulas mengenai penerimaan Watie selepas mulai menerima perhatian netizen, Shuib memberitahu usahawanita itu perlu dibimbing olehnya.
“Saya selalu beritahu dia supaya jangan ambil pusing atau baca komen. Kadang-kadang kesian juga sebab dia bukan selebriti.
Ads
“Setakat ini semuanya baik dan saya ada beritahunya, tidak mengapa (jadi perhatian netizen), tetapi saya bimbing awak,” katanya.
Dalam pada itu, Shuib terharu apabila ibunya, Amy Salmi boleh menerima kehadiran Watie dengan baik, termasuk rapat dengan anak bongsunya, Ayash Affan.
Ads
“Ayash hanya mahu tiga orang wanita sahaja iaitu mama, pembantu dan Watie.
“Sekarang pun Watie yang menjaga Ayash sebab mama sedang mengerjakan umrah,” katanya.
Imbas kembali, Shuib pernah berkahwin dengan Allahyarham Siti Sarah dan dikurniakan empat cahaya mata.
Ads
Untuk rekod, Shuib dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6 dan Ayash Affan, 2.
Sarah meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada Ogos 2021.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Lebih tiga tahun menyepikan diri, pelakon Adlin Aman Ramlie menanti peluang untuk beraksi dalam filem genre aksi, sekali gus mengubat kerinduan peminat di persada perfileman tanah air.
Adlin, 50, berkata, dia juga terima tawaran untuk berlakon dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu kerana tertarik dengan naskhah filem genre aksi unit beruniform itu.
“Sebenarnya, ada beberapa sebab saya terima tawaran berlakon dalam filem ini. Saya juga sudah kenal lama dengan pengarah, Allahyarham Pitt Hanif sejak zaman 1990-an lagi ketika arwah belajar di Akademi Filem, manakala saya pula di Akademi Seni Kebangsaan.
“Saya percaya arwah Pitt juga yang mencadangkan nama saya kepada penerbit untuk membintangi filem ini. Saya rindu mahu kembali berlakon, jadi terima tawaran kerana memberi sokongan pada rakan dalam industri perfileman tempatan.
“Justeru, bila dapat tawaran buat filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini yang juga genre aksi beruniform, saya terus tertarik kerana ia genre berbeza dan tak pernah buat sebelum ini,” katanya.
Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu menampilkan gandingan dua aktor dan aktres popular Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.
Selain Adlin, filem ini turut menampilkan Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Hafiz Nafiah, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.
Berkongsi mengenai watak, kata Adlin, dia melakonkan watak antagonis iaitu Samat yang juga ketua penjenayah dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu.
“Watak Samat adalah ketua yang menjalankan misi dan memberi arahan kerana ketua nombor satu adalah Sabri Yunus. Filem ini menampilkan babak aksi pergaduhan yang penonton tidak pernah tengok saya lakonkan sebelum ini.
“Saya juga tidak merujuk sesiapa untuk melakonkan watak Samat, sebaliknya ia mengikut idea dan kreativiti sendiri.
“Saya hanya menonjolkan karakter Samat seorang yang dinamik dan ada pesona dan energinya. Gaya saya berlakon memang konsisten dari dulu sampai kini,” katanya.
Ditanya babak paling mencabar pula, kata Adlin, dia perlu melakonkan babak fighting (pergaduhan) di pulau dengan watak utama, Leftenan Maritim Hafiz (Saharul) dalam filem itu.
“Saya juga menjalani latihan ‘fighting‘ dengan bimbingan dari koreografer profesional seminggu sebelum penggambaran. Selain itu, ada juga sesi latihan di studio.
“Babak pergaduhan itu aksi yang berterusan dan sudah namanya filem aksi, ia membabitkan banyak percubaan untuk dapatkan shot menarik. Setakat tubuh lebam-lebam buat babak bertinju itu perkara biasa dalam filem aksi,” katanya.
Adlin berkata, dia juga berkampung lebih tiga minggu di Pulau Langkawi sepanjang penggambaran filem itu.
“Banyak cabaran dihadapi ketika penggambaran di Pulau Langkawi kerana ia membabitkan kawasan laut dengan angin kuat dan ombak yang kencang.
“Ada masanya kami barisan pelakon dan kru terpaksa berpatah balik ke darat kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan untuk kami meneruskan penggambaran,” katanya.
Mengulas pengalaman bekerja dengan arwah Pitt selaku pengarah pula, kata Adlin, dia tiada masalah bekerjasama dengan pengarah muda itu kerana mereka sudah kenal lama.
“Arwah Pitt, penuntut lulusan bidang filem dan memiliki pengalaman luas dalam bidang pengarahan. Saya juga mengenali personaliti dirinya dan cara proses kerja dia saya sudah tahu.
“Kami juga berbincang mengenai watak ketika sesi pembacaan skrip dan saya juga beri idea dan pemikiran untuk menterjemahkan watak saya lebih matang berbanding pelakon lain.
“Kalau saya berasa babak itu itu tak okay ketika sesi pembacaan skrip, saya beritahu kepada arwah dan cakap terus terang sahaja dengannya. Arwah juga beri kepercayaan pada keputusan yang saya buat dan memudahkan kami bekerjasama untuk memberikan yang terbaik pada filem itu,” katanya lagi.
Sementara itu, ditanya kelainan dan tarikan pada filem itu, kata Adlin, dia mengucapkan tahniah kepada Maritim Malaysia kerana mereka memberikan sokongan kepada industri perfileman tempatan dengan bekerjasama dalam pembikinan filem skala besar ini seiringan dengan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, tentera dan sebagainya.
“Namun, bagi saya penceritaan filem ini menarik dan satu kejayaan yang besar dalam industri perfileman kita kerana Maritim Malaysia hanya meletakkan posisi mereka di latar belakang filem ini sahaja.
“Apa yang menarik, Maritim Malaysia juga memaparkan jalan cerita bagaimana anggota mereka juga tertipu dengan penjenayah, anggota mereka kena tembak, kapal mereka kena tawan (hijack) dan keadaan yang tidak boleh dikawal serta nampak penjahat lebih berkuasa dari mereka.
“Walaupun pada penghujung cerita Maritim Malaysia berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah terbabit. Filem ini juga ada ‘attitude’ dan tidak klise dari filem genre aksi lain yang pernah diterbitkan sebelum ini,” katanya.
Filem edaran Metrowealth International Group dan disokong Primeworks Studios (PWS), Media Prima Berhad (MPB). Ia mula menjengah pawagam seluruh negara termasuk ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam sejak 2 Februari lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Atas prinsip meraikan keinginan serta cita rasa kaum di Malaysia khususnya, pemilik premis makanan popular, Pak Mat Western Cafe cawangan Pulau Pinang menawarkan menu nasi lemak dengan harga serendah RM0.90 sen.
Mencetuskan tular di media sosial dan bertemakan Citarasa Hotel, Harga Warong itu juga dilihat menyahut usaha kebajikan untuk semua pengguna khususnya golongan B40.
Ia dilihat sejajar dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan, baru-baru ini, bertujuan memastikan golongan berkenaan khususnyamampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.
Malah pelakon dan hos, Bell Ngasri turut terkejut dengan harga nasi lemak ditawarkan.
Menerusi video di muat naik, Bell yang terkenal dengan watak Barkoba yang dilakonkannya dalam filem 18 Puasa di Kampong Pisang arahan Mamat Khalid mencuit hati melakonkan watak orang alim.
Di hujung lakonan drama sebabak, Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri yang pada awal skeptikal dengan orang lain sama-sama mengajak mereka menikmati nasi lemak itu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Strategi PMW Group, Nurina Izz Zayani berkata, apa yang dicetuskan juga sebagaimenangani krisis ekonomi. Terutamanya susulan ekonomi dunia pada tahun ini yang diramal dan diancam kemelesatan.
Dengan RM0.90 itu, pengunjung boleh menikmati bahagian nasi yang banyak, separuh biji telur rebus, ikan bilis dan sambal.
“Sejak dua bulan lalu kita melancarkan promosi nasi lemak serendah RM0.90 ada yang ingat ia hanya sekadar gimik. Tak kurang juga menuduh kami menipu kerana menawarkan harga tak masuk akal untuk menu berkenaan.
“Ada yang anggap, angka sen itu tak padan dengan hidangan nasi lemak kami sediakan. Namun semua itu bukan omong kosong, kerana sambutan diterima sampai kami tak menang tangan.
“Pelanggan yang datang pun daripada pelbagai kaum. Kita sedar selama ini, nasi lemak digemari bukan saja orang Melayu tetapi bangsa lain termasuk Cina, India serta mat salih,” katanya.
Menurut Nurina Izz lagi, pihak mereka cuba menyelami keperluan dan kehendak masyarakat yang saat ini berdepan kegetiran hidup.
“Ini antara usaha dan ihsan kami meraikan semua lapisan masyarakat untuk sama-sama menikmati rezeki menerusi nasi lemak. Ia juga lebih kepada cara kami bersedekah dengan berkongsi rezeki menerusi tawaran harga semurah ini.
“Lagipun kelompok masyarakat yang datang ke premis makanan kami berbeza latar belakang. Ada golongan pelajar yang mungkin selama ini mengikat perut tumpang gembira dengan tawaran harga itu.
“Ada juga golongan bekerjayang kesempitan atau kekurangan wang masih boleh menikmati menu ini dengan harga bajet. Kita tahu ekonomi sekarang, ada yang tengah bulan sudah sangkut nak bayar itu ini. Uruskan persekolahan anak lagi. Termasuklah golongan seperti ‘rider’ atau penghantar makanan,” katanya.
Tambahnya lagi, ia juga disifatkan sebagai sisi indah dan murni diserlahkan di premis makanan terbabit.
“Malah dengan bermodalkan RM2 saja, mereka boleh menikmati sarapan pagi dengan sempurna. Ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kami mahu semua datang ke premis tanpa fikir wujud kasta.
“Nikmatilah nasi lemak ini tanpa prejudis kerana ia dihasilkan dengan kasih sayang sentuhan air tangan orang lama. Tambahan pula, nasi lemak ini divariasikan dengan cita rasa tradisional dan barat sekali gus menjadikan ia gabungan orang Malaysia,” katanya lagi.
Selain nasi lemak promosi ditawarkan, premis ada menawarkan Nasi Lemak Lamb, Nasi Lemak Chicken Chop dan Nasi Lemak Meatball.
Selain Pulau Pinang, jenama berdaftar di bawah syarikat Pak Mat Western Sdn Bhd itu hingga kini premis makanan popular dan tular itu turut mempunyai cawangan utama di Johor.
Malah, premis makanan terbabit turut mempunyai‘ekspress mart’ di Alor Setar dan Perak untuk pesanan makanan dalam talian atau bawa pulang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Setiap impian itu pasti akan dapat digapai sekiranya kita bekerja keras menuju ke arah itu.
Tujuh tahun aktif dalam bidang seni muzik, akhirnya impian penyanyi dan rapper Yonnyboii untuk bekerjasama dengan salah seorang idolanya iaitu Alyph akhirnya tercapai.
Tampil dengan single kolaborasi bersama, Yonnyboii dan Alyph mempertaruhkan lagu Sengkek.
Yonnyboii atau nama sebenar, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 25, mendedahkan dia pernah menghantar ‘direct message’ (DM) kepada Alyph sebelum bergelar penyanyi lagi kerana terlalu mengagumi bakat yang dimiliki penyanyi kelahiran Singapura itu.
“Saya dah lama simpan impian memang nak berduet dengan Alyph. Salah satu cerita yang orang tak tahu, saya pernah DM Alyph di Instagram.
“Saya DM Alyph tu masa belum jadi artis lagi. Saya masih ingat saya tulis bagaimana nak buat lagu macam dia, ‘Hi Alyph, macam mana nak buat lagu? Boleh tolong beri tunjuk ajar? Boleh saya datang ke studio?'” katanya kepada MH.
Yonnyboii ditemui pada majlis pelancaran single Sengkek yang diadakan di The Face Suites, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sementara itu, menceritakan lebih lanjut tentang perkara itu yang membawa kepada kerjasama mereka, Alyph atau nama sebenar, Muhammad Alif Abdullah, 34, mengakui dia ‘terlepas pandang’ daripada membaca mesej yang dikirim Yonnyboii.
“Saya rasa saya tidak membaca mesej yang diberikan Yonny ketika itu. Biasalah kadangkala kita terlepas pandang dengan mesej-mesej yang dikirim oleh orang ramai.
“Selepas mendengar lagu-lagu Yonnyboii, saya sendiri menghantar mesej kepadanya untuk ucapkan tahniah kerana berjaya menghasilkan karya lagu terbaik.
“Bila Yonny balas mesej itu, dia kata tolong jangan baca mesej-mesej sebelum ini. Daripada situ baharu saya sedar dia pernah menghantar mesej kepada saya,” kata Alyph.
“Selepas tahu dia pernah mengirim mesej, saya sangat hormat dengan tindakannya kerana Yonny seorang artis yang penuh dengan semangat.
“Lihat sekarang, saya pula yang approach dia di DM untuk ucapkan tahniah dan memuji karya-karya lagu hasil ciptaannya,” kata Alyph lagi.
Lagu Sengkek yang merupakan hasil ciptaan SonaOne manakala liriknya pula nukilan Yonnyboii dan Alyph sendiri.
Berkongsi lebih lanjut tentang Sengkek, Yonnyboii berkata dia percaya setiap manusia pastinya pernah melalui fasa ‘kepayahan’ dalam kehidupan masing-masing sebelum bertemu kejayaan.
“Saya rasa semua orang pernah melalui situasi ini, saya juga pernah rasa sengkek (pokai). Disebabkan dia berkaitan dengan ramai orang, kenapa tidak saya tulis sebuah lagu yang orang semua boleh faham.
“Bukanlah nak kata pokai sebab tak bekerja, dulu masa saya pernah kerja restoran fast food pun, saya ada rasa time-time pokai itu.
“Saya nak orang rasa apa yang saya pernah rasa dan maka dengan itu terhasil lagu berjudul Sengkek ini,” kata Yonnyboii lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai menjadi dalang di sebalik kebocoran filem animasi yang belum ditayangkan, The Legend of Aang: The Last Airbender yang juga karya terbaharu dalam francais popular, Avatar.