
Selepas namanya kerap terpalit dengan komen negatif dan berbaur fitnah, pelakon, Sherry Ibrahim akui kini perlu bertegas dengan tidak membiarkan dirinya terus ditindas.
Menurut Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, semua orang boleh berkata apa sahaja namun, mereka tidak pernah tahu perkara sebenar.
“Kita tak boleh kawal tanggapan orang lain terhadap diri kita. Apa orang nak kata atau fikir, pada akhirnya nanti, tiada siapa pun yang mengenali diri saya.
“Saya akui, berdiam diri dan sabar itu memang bagus tapi jika berterusan sebegitu, kita akan dipijak dan ditindas.
“Saya tidak perlu nak menjelaskan apa-apa atau bercerita secara terang-terangan. Apa yang pernah berlaku sebelum ini, ia adalah masa silam dan sejarah saya,” katanya kepada MH.
Sherry berkata sedemikian ketika ditemui di Sidang Media Drama Gadis Masa di Aloft Kuala Lumpur Sentral, Kuala Lumpur pada Selasa.
Katanya lagi, beberapa hantaran yang dikongsikan di media sosial sebelum ini telah disalah ertikan segelintir pihak sehingga menimbulkan perbalahan.
“Mereka seperti sengaja nak memperbesar isu-isu yang tidak sepatutnya sehingga menimbulkan fitnah dan perbalahan. Sedangkan niat saya dari awal tidaklah sebegitu.
“Saya bukan baru dalam industri ini. Bagi yang mengenali saya, mereka tahu saya seorang yang bekerja keras. Saya tak boleh halang apa yang orang katakan. Mungkin ini pahala percuma buat saya,” ujarnya lagi.
Sherry Jaga Kesihatan Mental
Jelas Sherry lagi, selepas dia memberikan amaran bertulis di akaun media sosial, fitnah yang dilemparkan semakin berkurangan.
“Alhamdulillah, ketika ini, saya sudah kurang menerima komen-komen negatif. Jadi, ada kalanya, memberi amaran itu perlu. Namun, ada individu yang masih belum membuat permohonan maaf.
“Saya juga perlu menjaga kesihatan mental. Saya tiada niat nak menimbulkan pergaduhan dan mereka menganggap seolah-olah saya yang memperbesar isu ini.
“Saya pun tak suka baca komen-komen negatif. Namun bila saya baca, ia agak melampau. Sebagai manusia, saya ada hak untuk bersuara. Saya juga ada mendapatkan nasihat peguam,” katanya lagi.
Ditanya adakah dia bakal mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara seperti ini masih berlaku, Sherry ada jawapannya sendiri.
“Saya tidak mahu pergi ke arah itu dan jadikan isu ini lebih besar. Saya tidak suka drama. Cukuplah dengan drama-drama yang ada dalam industri ini.
“Nak turun naik mahkamah ini, saya tak sampai hati. Namun, perkara ini tetap berlaku dan saya penat.
“Kalau ia masih melampaui batas, saya akan berbincang dengan orang sepatutnya. Sejujurnya, saya tidak mahu ke arah itu,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI