Sesak Nafas, Yazid Search Diminta Buat Rawatan Susulan

Selepas dua hari ditahan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Brunei akibat sesak nafas minggu lalu, pemain drum kumpulan Search, Yazit Ahmad, kini sudah kembali di Kuala Lumpur dan kini sedang berehat di rumahnya.

Menurut Yazit, keadaan kesihatannya sudah kembali stabil, namun mendapat surat daripada pihak hospital yang merawatnya di Brunei untuk membuat rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam masa yang terdekat ini.

“Alhamdulillah keadaan kesihatan saya kembali stabil, namun doktor menasihati saya agar membuat rawatan susulan di HKL untuk memeriksa di bahagian dada saya kerana bimbang ada penyakit lain timbul berikutan kejadian sesak nafas tempoh hari.

 

“Bagaimanapun buat masa ini saya belum sempat untuk berbuat demikian kerana sibuk dengan jadual rawatan dialisis sedia ada, selain perlu menjalani tempoh kuarantin selama tiga bulan bagi memenuhi prosedur selepas mendapat rawatan dari luar negara,” jelas Yazid.

Mengulas tentang punca kejadian, kata Yazid ia mungkin kerana keletihan yang dialaminya setelah terlibat dengan pelbagai aktiviti sepanjang berada di sana.

IKLAN

“Kalau ikutkan perancangan asal, saya hanya perlu menghadiri satu-dua event sahaja, namun mungkin kerana saya jarang-jarang datang ke sana jadi banyak pihak tidak mahu melepaskan peluang untuk menjemput saya ke tempat mereka.

 

“Jadi sempat jugalah saya pergi ke beberapa stesen radio untuk mempromosikan album Rampage selain memenuhi undangan makan-makan sempena hari raya yang masih lagi berlangsung di sana.

 

“Mungkin disebabkan terlalu penat dan tidak mendapat rehat yang secukupnya kejadian tersebut berlaku, ditambah pula pada pagi tersebut saya tidak mengambil sarapan kerana rasa kurang berselera untuk makan,” ceritanya lagi.

Minggu lalu, Yazid dan isteri, Ramlah Mat berkunjung ke Brunei atas undangan rakan lamanya untuk mempromosikan album Rampage di Brunei, selain menjadi juri untuk pertandingan Battle of the Band.

IKLAN

“Saya ke sana selama empat hari dan ketika itu kesihatan saya memang dalam keadaan yang baik dan tidak berdepan dengan sebarang masalah.

 

“Namun pada pagi hari terakhir ketika dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur, saya mula merasa sesak nafas yang teruk dan setiba di sana saya dinasihatkan untuk tidak menaiki penerbangan dan terus dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya yang diahan selama dua hari sebelum dibenarkan keluar pada Ahad lalu.

Bagaimanapun menurut Yazid, dia sedikit terkejut dengan bil hospital berjumlah B$920 yang dikenakan kepadanya selama dua hari mendapatkan rawatan di sana.

“Jumlahnya agak tinggi, namun mungkin itu memang jumlah yang dikenakan kepada pesakit dari luar seperti saya. Nak tak tak, kenalah jugalah bayar,” luahnya yang kini masih lagi menjalani rawatan berterusan untuk penyakit buat pinggang yang dihidapinya sebelum ini.

Dalam perkembangam lain, Yazid bakal tampil dengan album baru menerusi Rampage yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan dengan lancar sebagaimana yang dirancang kami akan lancarkan album tersebut pada penghujung bulan ini.

 

“Malah ia juga akan dilakukan serentak dengan pelancaran produk kesihatan minuman herba saya yang akan berada pasaran tidak lama lagi,” kata Yazid yang dihubungi MH Online sebentar tadi.