Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menghargai keperihatinan yang ditunjukkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil terhadap isu berita palsu yang dikaitkan dengannya, baru-baru ini.

Menurut Siti, perkara seperti ini sudah kerap kali berlaku bukan sahaja terhadap dirinya tetapi juga orang lain.

“Terima kasih di atas keprihatinan YB terhadap isu berita palsu, buli siber dan sebagainya.

“Hal ini sudah sering terjadi bukan sahaja kepada saya sebagai individu tetapi juga banyak pihak lain,” tulisnya

Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh penyanyi lagu Anta Permana itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.

IKLAN

Pada masa sama, Siti turut menyeru kepada semua pihak untuk menggunakan platform media sosial secara berhemah agar boleh memberi manfaat kepada orang lain.

“Kesedaran masyarakat harus dibendung tentang berita-berita palsu yang keluar di media sosial.

“Jadilah pengguna yang berhemah, matang menilai dan tidak menggunakan akal, jari dan ilmu yang Allah pinjamkan kepada perkara yang tidak berfaedah,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Siti telah meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan namanya dengan membuat akaun Facebook palsu dan menyebarkan kenyataan berhubung kehadirannya untuk memeriahkan sebuah majlis hari raya di Kedah yang didakwa majlis politik.

IKLAN

Kenyataan palsu berkenaan kemudiannya digunakan sebuah portal hiburan untuk dijadikan bahan berita.

Lantaran itu, Fahmi menerusi satu ciapan di Twitter berkongsi semula hantaran yang dibuat Siti dan menyeru semua pihak media untuk menyemak semula fakta sebelum menerbitkan sebarang bentuk laporan berita.

“Berita palsu ini tersebar sejak semalam dan menjadi fitnah yang merebak jauh ke pelbagai komuniti, malah ada yang percaya dan ada juga yang jadikannya bahan politik.

IKLAN

“Saya pohon rakan-rakan media untuk sentiasa mengesahkan info dan sumber sebelum menerbitkan berita agar tidak timbul isu seperti ini.

“Tindakan undang-undang juga boleh diambil oleh agensi penguatkuasaan sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran,” jelas Fahmi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Twitter Siti Nurhaliza & Fahmi Fadzil

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI