Sering ditawarkan watak sebagai lelaki berkahwin dua, penyanyi dan pelakon Zarul Umbrella berharap agar segala naskhah drama yang dijayakannya itu dapat sedikit sebanyak memberi iktibar dan pengajaran buat penonton.

Menurut Zarul atau nama sebenar Zairulkefli Husin, 50, walaupun isu poligami dilihat sensitif bagi sesetengah pihak, namun semua perkara yang digambarkan menerusi drama-drama lakonannya sebelum ini mengambil intipati daripada kisah realiti yang berlaku dalam kehidupan seharian.

“Sebenarnya itu realiti, kalau tak, orang takkan buat drama. Drama itu semua berdasarkan kisah realiti.

“Sangat sukar… susah saya nak cakap (tentang isu poligami), saya tak layak nak nasihatkan semua orang. Cuma apa yang boleh saya katakan, ambillah semua yang dalam lakonan yang tidak elok itu jadikan pengajaran. Ambil mana yang elok sahaja,” katanya pada majlis pelancaran program YEG Sambung Belajar di Putrajaya pada Sabtu.

Aktif dalam bidang seni sejak 30 tahun lalu, Zarul juga jarang-jarang sekali dikaitkan dengan kontroversi panas termasuk melibatkan hal rumah tangga.

Ini kerana menurut Zarul, dia lebih senang berpegang pada prinsip enggan berkongsi hal-hal peribadi di media sosial miliknya untuk tatapan umum.

IKLAN

Sering Bawa Watak Kahwin Dua, Zarul Umbrella Harap Penonton Jadikan Iktibar; “Yang Tak Elok Itu Jadikan Pengajaran.”

“Mungkin sebab saya jarang kongsikan fasal keluarga, isteri pun faham dengan kerjaya saya. Ini adat resam seseorang artis, ada pasang, ada surut juga.. akan ada benda tak elok yang akan didengari orang luar.

“Alhamdulillah, syukur juga saya tak terlibat dengan kontroversi hangat.

“Prinsip saya, jangan dikenang, jangan dikongsi. Apa perlu disimpan kita simpan,” katanya lagi.

IKLAN

Sementara itu, selain berlakon dan menyanyi, Zarul kini memegang profesion baharu bergelar felo di pusat latihan Meatech dalam jurusan Aviation.

Berpengalaman luas selama 16 tahun bergelar pramugara, Zarul akan berkongsi segala ilmu tersebut buat generasi baharu yang memasang cita-cita ingin menceburi bidang tersebut.

“Saya bukan tenaga pengajar, sebaliknya hanya ‘sharing session’, berkongsi pengalaman menerusi sesi yang disusun mengikut jadual.

IKLAN

“Apa yang dikongsikan adalah pengalaman sepanjang 16 tahun saya dalam bidang penerbangan.

“Dalam setiap sesi, saya banyak menerapkan tentang keikhlasan menjalankan tugas dalam mana-mana bidang dan kepentingan berkomunikasi dengan orang sekeliling,” katanya lagi.

Meatech adalah institusi yang bekerjasama dengan YEG Academy Sdn Bhd yang menyediakan platform kepada lepasan SPM untuk membuat pilihan sebelum menyambung penganjian di peringkat diploma.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI