Teruja sambut lebaran pertama kali sebagai pasangan suami isteri, penyanyi Haqiem Rusli dan cinta hatinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri juga kini menghitung hari untuk terbang ke Turki.

Kata Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) Ke-33 itu, mereka akan terbang ke lokasi berbulan madu pada raya ke sembilan sekaligus mendoakan agar semuanya dipermudahkan.

“Tahun ini, saya dan isteri sepakat beraya di Hulu Langat, Selangor. Selepas berbincang, kami akan terbang ke Turki selama dua minggu.

“Sepatutnya bulan Mac lalu kami sudah ke sana, tapi isteri pula kena COVID-19. Jadi ia ditunda. Selepas kahwin, kami hanya sempat ke Port Dickson saja,” kata Haqiem.

Justeru, penyanyi lagu Mimpi itu dan isteri mahu memanfaatkan raya pertama dan kedua sebaik mungkin.

Pasangan muda ini berkahwin pada 19 November tahun lalu.

IKLAN

“Perasaan berbeza dan membahagiakan juga kerana merasai nikmat beraya dengan status suami. Kebetulan mak dan ayah isteri saya pun rapat dengan keluarga, jadi mereka pun turut beraya sama di Hulu Langat.

“Tambahan ibu dan bapa mentua tinggal di Setapak, jadi ia memudahkan perancangan kami. Semakin riuh juga kerana 10 adik beradik ibu saya pun akan datang beraya. Baju raya pun tetap bertema dan sedondon macam saya hidup bujang dulu,”katanya lagi.

Bercakap soal cahaya mata, pemilik restoran steam boat, Santhai Village itu memaklumkan isterinya belum berbadan dua.

“Soal anak belum ada rezeki lagi. Masih merancang, tapi kami tak tolak rezeki. Kami seboleh-bolehnya nak nikmati momen berdua dan mengukuhkan keserasian.

IKLAN

“Ada waktu bersama, kami masak bersama di dapur contohnya. Ikutkan usia saya baru 24 dan isteri, 20, itu masih terlalu muda. Tapi kami bersedia nak lalui fasa hidup dengan anak.

“Cuma tak mahu tergesa-gesa. Biarlah relaks setahun lagi. Mungkin tahun depan, boleh berusaha ke arah itu,” katanya.

IKLAN

Dalam perkembangan lain, Haqiem turut merancang untuk menghasilkan lagu baharu.

“Selepas lagu Hitam Saksi Putih yang saya dedikasikan isteri, karya seterusnya berjudul Aku Hati Perasaan akan dilancarkan selepas raya nanti.

“Lagu ini sebenarnya saya peram sejak empat tahun lalu. Ia berkonsepkan pop balada dengan sedikit sentuhan Brit Pop seperti karya nyanyian kumpulan seberang, Noah.

“Lagu ini mengenai soal perasaan yang ditujukan kepada sesiapa yang pernah menyakiti hati saya. Ia ditujukan secara rawak sama ada kepada kawan mahupun netizen. Liriknya bercerita fasal insan yang tak ‘ngam’ dengan kita,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI