Seminggu Bersaing Dengan 10 Finalis Lain, Aqila Afindi Sukses Jadi Juara Pencarian Wanita Melayu 2022

Share

Setelah berhempas pulas bersaing dengan 10 finalis lain selama seminggu, akhirnya finalis kelahiran Johor Bahru, Aqila Afindi dinobatkan selaku juara bagi program Pencarian Wanita Melayu 2022.

Kemenangan tersebut sekali gus membolehkan Aqila membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM10,000, sebentuk tiara, trofi serta hadiah-hadiah lain sumbangan penaja.

Naib juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi pula diraih peserta berusia 26 tahun, Nur Athiyah Hazirah.

Begi melengkapkan kedudukan, finalis, Siti Aishah diumumkan selaku pemenang tempat ketiga sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta trofi.

Tiga pemenang teratas ini juga akan membawa pulang Diamond Pendant daripada penaja utama, Habib.

Pada acara kemuncak ini, pihak penganjur turut menyediakan dua anugerah khas iaitu Miss Photogenic serta Miss Personality yang masing-masing dimenangi finalis Nur Diana Seri Tunteja dan Sabrina Nizam.

Kedua-dua mereka menerima hadiah RM1,000 beserta trofi.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Ikon Pencarian Wanita Melayu 2019 yang juga merupakan pelakon, Aini Sophie.

Acara kemuncak Pencarian Wanita Melayu yang kini memasuki edisi ke-7 itu telah dijurikan oleh penyanyi, Mas Idayu, pelakon, Vanidah Imran, Penysarah Fesyen UiTM, Faizal Hamid, Pengarang Urusan Majalah Nona, Kiffy Razak dan Azura Mokhtar selaku Pengurus Kanan Plaza Shah Alam.

Program yang berlangsung di Plaza Shah Alam ini telah dihoskan oleh gandingan selebriti Fahrin Ahmad dan Amy Nur Tinie.

Pada acara kemuncak ini, kesemua 10 finalis harus menempuhi dua pusingan iaitu persembahan bakat dan sesi soal jawab.

Sekadar informasi, sepanjang seminggu lalu, kesemua finalis telah berkampung di Plaza Shah Alam dengan beberapa aktiviti telah disusun seperti penjagaan etika, perunding imej, grooming, solekan, kebolehan memasak dan aktiviti bersama penaja.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Instagram Pencarian Wanita Melayu

IKLAN