
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, melahirkan rasa syukur selepas kekal dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan.
Menurut Syed Saddiq, sejak awal lagi dirinya menghormati proses mahkamah dan yakin tidak bersalah.
“Manusia boleh merancang Allah SWT yang menentukan. Disebalik setiap ujian, cabaran dan rintangan, pasti ada hikmahnya.
“Apabila saya imbas semula detik awal diheret ke mahkamah, saya tidak tunduk, takut dan guna jalan pintas dan minta layana istimewa kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar.
“Saya tidak melakukan kesilapan dan saya kekal dengan prinsip. Berani kerana benar. Kerana pegangan tersebut bawa kita ke detik hari ini.
“Enam tahun yang sangat lama yang bukan membawa kesan kepada diri saya khususmya kepada ibu bapa, kawan-kawan, sahabat dan dunia politik,” katanya kepada MH di lobi Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapanya dan tunang yang setia berada di sisi sepanjang proses mahkamah berlangsung.
“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada ibu bapa kerana mereka telah lalui banyak perkara.
“Terima kasih juga kepada tunang saya yang setia bersama. Ia bukan mudah. Sebelum bersama saya, saya merupakan pesalah. Tapi dia tetap bersama.
“Alhamdulillah pada hari ini, saya tidak akan lupakan jasanya,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Syed Saddiq memaklumkan akan meneruskan persiapan perkahwinan dengan hati yang lebih tenang selepas segala urusan mahkamah selesai.
“Selepas saya sujud syukur, ayah dan ibu telah memberikan signal yang positif supaya dapat meneruskan persiapan selepas ini,” akhirinya.
Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman berkenaan selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan.
Dalam keputusan majoriti 2-1, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun tahun lalu, manakala Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel membuat keputusan berbeza.
Kedua-dua hakim berpendapat tiada kesilapan undang-undang atau prosedur yang boleh dijadikan alasan untuk merayu keputusan tersebut.
Sabitan dan hukuman tersebut berkaitan dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta serta dua kesalahan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.
Sebaik keluar dari kamar mahkamah, Syed Saddiq bersama bapanya turut menzahirkan rasa syukur sebelum menunaikan sujud syukur di perkarangan lobi mahkamah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini