Berita

Selepas 10 Tahun Memujuk, A. Aida Syukur Azeva Akhirnya Terbuka Hati Terjun Bidang Seni – “Saya Boleh Tutup Mata Dengan Tenang.”

Share

Setelah hampir 10 tahun memujuk, penerbit terkenal, Datuk A. Aida mengakui gembira apabila anaknya, Azeva Natassha akhirnya terbuka hati untuk menceburi bidang seni.

Menurut A. Aida, hasrat untuk melihat anaknya mengikut jejak langkahnya dalam industri seni sudah lama disimpan, malah dia sendiri menyedari potensi yang dimiliki Azeva sejak usia remaja.

“Ketika dia berusia 13 tahun, dia pernah menyanyi di sekolah. Ketika itu saya sedar yang anak saya ada tone yang unik dan istimewa. Malah, dia juga ada pakej dari segi rupa.

“Ibaratnya saya sudah melahirkan pelapis saya. Sejak itu, saya selalu punjuk dia untuk buat album dan berlakon tapi dia tidak mahu. Nak dekat 10 tahun saya memujuknya.

“Bila dia balik dari Australia, dia cakap nak menyanyi dan berlakon. Saya rasa seperti dalam mimpi. Bila dia cakap begitu, saya terus buat skrip filem dan tulis lagu.

“Saya tak mahu tunda lagi. Kami terus jalani penggambaran dan siapkan lagu OST,” katanya kepada MH.

A. Aida berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharu Azeva berjudul Tanpa Rasa Jemu, baru-baru ini.

Peluang Cipta Nama Terbuka Luas

Ibarat orang mengantuk disorong bantal, A. Aida merasakan potensi Azeva untuk memperkenalkan namanya dalam industri seni semakin terbuka luas apabila anaknya itu menerima tawaran menyertai program Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2).

“Tidak lama selepas itu, dapat pula tawaran program TTMM2. Saya merasakan Allah itu permudahkan dan merestui doa seorang ibu yang selami ini berharap anaknya masuk ke bidang seni.

“Pada saya, program itu merupakan jalan mudah untuk dia mencipta nama. Nak bergelar artis, 10 tahun pun belum tentu dapat cipta nama. Saya yakin dia mampu menyinar di program itu,” kongsinya lagi.

“Kalau Saya Mati Pun, Saya Boleh Tutup Mata Dengan Tenang”

Dalam masa sama, bekas isteri kepada penyanyi Ameng Spring ini tidak dapat menahan sebak apabila dapat menyaksikan sendiri momen istimewa Azeva mencipta nama di dalam bidang seni.

“Hari ini, saya dapat saksikan majlis pelancaran single anak saya dan pada 1 Oktober nanti, filemnya pula bakal ditayangkan.

“Saya bangga kerana impian saya selama ini tercapai. Kalau saya mati pun, saya boleh tutup mata dengan tenang.

“Ketika saya koma, doktor kata 99% saya tidak akan hidup lagi. Bila saya sedar kembali, kata ustaz, mungkin ada urusan yang belum selesai lagi. Bila ustaz kata begitu, saya tak fikir lain, terus ingat pada Azeva,” katanya lagi.

Dalam masa sama, A. Aida mahu Azeva memanfaatkan setiap peluang yang hadir bagi mengembangkan bakat dan membina nama dalam industri seni.

“Azeva ada pakej yang lengkap. Industri seni inilah tempatnya. Rugi kalau tidak dimanfaatkan. Walaupun dia seorang graduan akauntan, pada saya, sijil itu boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja.

“Biarlah dia bina nama dahulu. Sayang kalau tak ambil peluang ini,” akhirinya.

Terdahulu, single Tanpa Rasa Jemu kini boleh didengari di seluruh platform penstriman dan muzik video kini boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf