
Demi memenuhi tuntutan watak untuk sebuah projek filem, pelakon Kodi Rasheed sanggup menjalani rutin diet yang ketat demi menurunkan berat badannya sebanyak 20 kilogram (Kg).
Menurut Kodi, dia kini cukup menjaga soal pemakanan sehingga langsung tidak menyentuh makanan bergula dan bertepung.
“Saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram dalam masa tiga bulan demi tuntutan watak untuk sebuah filem. Berat badan saya daripada 82 kilogram kini jadi 62 kilogram.
“Saya ‘haramkan’ sebarang bentuk gula untuk masuk ke dalam badan saya. Selain itu, saya juga tak ambil makanan bertepung.
“Hari-hari saya hanya makan nasi dalam kuantiti yang sedikit bersama ikan bakar. Malam pula, saya makan buah sahaja,” katanya kepada MH.
Kodi berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media filem The Real Mamu, baru-baru ini.
Tambah Kodi lagi, dia tidak berani untuk mengunakan apa-apa alternatif lain bagi menurunkan berat badan kerana bimbang ia akan memudaratkan kesihatan.
“Memang seksa nak turunkan berat badan itu. Saya tiada mendapatkan mana-mana nasihat. Segalanya saya buat sendiri. Sebab kita sudah tahu kondisi badan diri-sendiri macam mana.
“Tak perlu nak pening sangat sebab saya hanya ambil makanan sihat sahaja. Saya pula takut nak ambil sebarang suntikan untuk kurus. Bimbang akan ada kesan sampingan.
“Seminggu pertama, saya ada rasa pening-pening sikit. Namun syukur selepas itu, badan saya sudah boleh terima,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, pelakon filem Malaikat Malam ini turut mendedahkan, usahanya untuk menurunkan berat badan telah disalah erti segelintir pihak sehingga ada yang mendakwa dia mengalami masalah kesihatan selain mengambil bahan terlarang.
“Ada yang ingat saya sakit. Bila jumpa orang di luar, itulah kebanyakan reaksi mereka. Malah, ada juga yang telefon untuk tanya keadaan saya. Saya sihat dan okay sahaja.
“Lagipun, saya memang kena makan ikut waktu. Ada juga yang kata saya ambil bahan terlarang. Kalau saya ambil ‘barang’, saya tidak akan boleh jalani penggambaran.
“Sudah tentu saya akan menyusahkan orang lain. Saya tidak akan sesekali terjebak dengan bahan terlarang. Ia akan makan diri saya balik,” akhirinya.
Terdahulu, Kodi telah diumumkan sebagai salah seorang pelakon utama yang akan membintangi filem terbaharu, The Real Mamu.
Selain Kodi, filem ini turut membariskan pelakon seperti Saiful Apek, Risteena Munim, Didie Alias, Wan Raja dan ramai lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini