
Penyanyi rap dan komposer, Kidd Santhe tampil memberikan pandangannya berhubung tindakan rapper muda, Lucidrari yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur biadab terhadap rapper senior, baru-baru ini.
Menurut Kidd, apa yang diluahkan oleh Lucidrari mungkin berpunca daripada rasa kecewa terhadap sesuatu perkara.
Tambahnya, budaya muzik hip hop memberi ruang kepada pengkarya untuk bersuara.
“Mungkin dia merasakan dirinya tidak mendapat sokongan seperti yang diharapkan daripada orang-orang yang dia anggap sebagai idola.
“Mungkin juga dia tidak dapat menyampaikan produknya secara betul kepada pihak media. Kalau kita tengok di dalam genre hip hop, kita sentiasa memilih untuk menjadi ‘anti-establishment’.
“Hip Hop sentiasa menjadi medium untuk kita bersuara. Hip Hop merupakan satu kategori seni di mana kita boleh meluahkan perasaan dalam apa juga topik atau sesiapa sahaja,” katanya kepada MH.
Kidd berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single duet terbaharunya bersama Rxf Rhaled berjudul Aku Level Lain yang berlangsung di Laya Skylounge, Petaling Jaya, pada Selasa.
Dalam masa sama, Kidd mengakui berasa sedih dengan tindakan Lucidrari, namun tidak bersetuju jika penyanyi rap muda itu dipulaukan atau diboikot.
“Saya berasa agak sedih dengan apa yang dia lakukan. Saya suka muzik-muzik dia. Adakah saya merasakan tindakkan dia betul? Tidak. Adakah saya merasakan dia patut diboikot? Tidak juga.
“Untuk generasi yang akan datang, siapa lagi yang nak bawakan muzik hip hop ini? Ketika ini, kita ada ramai bakat baharu. Dia bersama kumpulannya adalah salah satu daripada bakat besar itu.
“Saya pernah bercakap tentang isu ini di Threads. Respon saya agak neutral. Saya ini bukanlah OG. Saya hanyalah salah seorang rapper di Malaysia,” ujarnya lagi
Mengulas lanjut, Kidd berkata, meskipun Lucidrari masih dianggap sebagai pendatang baharu dalam industri, penyanyi itu telah berjaya membina nama dan menunjukkan perkembangan kerjaya yang memberangsangkan.
Sehubungan itu, dia berharap orang ramai dapat memberikan ruang serta peluang kepada Lucidrari untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan.
“Kita boleh anggap dia sebagai ‘budak budak baru nak up’ (BBNU). Namun, dia sudah pun memperkenalkan dirinya kepada ramai orang. Kerjaya muziknya bergerak dengan sangat bagus.
“Saya harap dia akan terus mendapatkan sokongan daripada orang ramai. Saya juga harap agar orang ramai dapat memaafkan dirinya.
“Pada saya, dia memang membawakan perangai dan personaliti sebagai artis hip hop tapi cara penyampaiannya itu mungkin tak betul,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Kidd turut menegaskan hubungannya dengan barisan rapper senior sentiasa berada dalam keadaan baik dan berharap dapat terus bekerjasama dengan lebih ramai nama besar dalam industri pada masa akan datang.
“Hubungan saya bersama rapper senior sentiasa baik. Saya pernah bekerjasama dengan Malique dan Joe Flizzow untuk beberapa kali.
“Saya harap akan dapat terus bekerjasama dengan ramai lagi nama-nama besar. Pada saya, itu semua rezeki,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.