‘Tree of Life’, menjadi konsep persembahan penyanyi Aina Abdul di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Aina tampil dengan kostum akar pokok menerusi lagu ciptaannya, Jangan Mati Rasa Itu yang memberi makna mendalam terhadap persembahan yang dibawakan pada edisi AJL kali ini.
“Simbolik enam akar pokok, termasuk saya membawa makna tersendiri dan menguatkan lagi mesej di sebalik maksud lagu Jangan Mati Rasa Itu, sebuah perjalanan cinta dipersembahkan di pentas AJL38.
“Lirik kasihmu terus hidup, jangan mati rasa itu membawa makna hati dan rasa yang akan terus mekar dengan cinta biarpun rasa itu tidak sama seperti dahulu.
Ads
“Walaupun pohon-pohon tidak subur, ranting keras mengering dan hampir mati, tetapi akar di bawah tanah masih menjalar dan mekar, seperti hati yang terus kukuh mencintai biarpun jiwa tersakiti,” jelasnya.
Aina berkongsi perkara itu menerusi hantaran terkininya di Instagram.
Ads
Lebih dramatik, Aina turut tampil dengan gimik tergantung dan kelihatan terapung di atas dengan diiringi daun kering berguguran dari arah atas.
Ads
Sentiasa tampil dengan idea kreatif serta di luar kotak, Aina sekali lagi memukau penonton sekaligus menerima ‘standing ovation’ daripada penonton.
“Di akhir persembahan, saya sebagai akar pokok terapung ke atas. Ini membawa makna, saya ingin mencari bahagia sendiri dengan ‘move on’ dari cinta yang tidak lagi berbalas dan meletakkan diri sendiri sebagai fokus untuk mecapai bahagia.
“Kasih dan sayang terhadap diri sendiri seharusnya sentiasa menjadi keutamaan yang tersemat dalam lubuk hati,” kongsinya lagi yang mengenakan busana sentuhan pereka fesyen Melinda Looi.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Membaca dan mendalami kepayahan hidup yang dialami masyarat sekeliling nyata menjentik hati pelakon, Putra Amaris untuk berkongsi rezeki bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.
Bagi Amaris, dia percaya setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT itu bukan hanya usaha diri sendiri, sebaliknya adalah berkat orang ramai yang banyak memberi sokongan dalam perniagaan serta kerjaya seni.
Justeru mengambil iktibar dari banyak kisah masyarakat, sejak tahun 2020 Amaris mula menggerakkan program ‘Share Rezeki’ yang juga secara tidak langsung menjadi ibadah infaq sempena menyambut keberkatan bulan Ramadan.
“Kita banyak mendengar kisah orang hidup susah menerusi laporan media atau yang tular di media sosial. Dari situ saya mula terfikir untuk lakukan sesuatu agar rezeki yang dimiliki ini juga dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang.
“Sekurang-kurangnya sedikit pemberian ini juga dapat memberi senyuman buat mereka yang memerlukan. Bahkan mereka juga sama-sama dapat merasa nikmat Ramadan seperti kita yang berkemampuan.
“Tahun ini saya teruskan lagi program Share Rezeki yang pernah dilakukan empat tahun dahulu,” katanya. Ketika ditemui pada majlis pelancaran Share Rezeki 2024: Amaris x Tyzoxander, di Shah Alam, baru-baru ini.
Turut sama hadir bagi menyokong usaha murni ini termasuk penyanyi Mas Idayu dan Datuk Fizz Fairuz.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Amaris bersama pasukan pengurusan, Rarekynd Malaysia sudah mula mengenal pasti golongan yang memerlukan termasuk rumah-rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan.
Malah dia juga turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat ternama untuk sama-sama berkongsi menghulurkan bantuan bagi menggerakkan misi ini.
Bukan itu sahaja, dia turut mengajak rakan-rakan artis yang mahu melakukan amal kebajikan.
“Menariknya tahun ini saya turut mendapat kerjasama beberapa syarikat bumiputera. Bukan itu sahaja, saya juga membuka peluang kepada rakan artis sekiranya mereka mahu melakukan kebajikan sempena Ramadan.
“Saya percaya ramai golongan yang berkemampuan mahu menghulurkan bantuan namun tidak dapat berbuat demikian atas beberapa faktor kekangan. Jadi program Share Rezeki ini boleh menjadi orang tengah untuk mereka,” jelasnya.
Program yang digerakkan oleh Rarekynd Malaysia ini, turut mendapat kerjasama pihak lain termasuk adalah Minyak Bidara Paklong Man (penaja utama), Adabi, Hardamawt dan Westplate Factory.
Tambah Amaris, kejayaan sebelum ini juga telah mendorong dia untuk menjadikan program sebegini sebagai acara tahunan atau mungkin boleh dilaksanakan sepanjang tahun.
Istimewa juga dalam program tahun ini Amaris turut bekerjasama dengan penyampai radio, Tyzo Xander menerusi Pertubuhan Kasih TYZO.
“Siapa tahu program ini akan dijalan sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu kepada bulan Ramadan sahaja.
“Rezeki dapat bekerjasama dengan Tyzo. Memang hasrat dalam hati nak bekerjasama dan dengan izin Allah ia dipermudahkan. Kami berhubung dan dia juga mahu melakukan program sama.
“Bermula daripada sekadar borak kosong, kemudian pertemua di kedai kopi akhirnya kami setuju untuk sama-sama menggerakkan progam ini,” ujarnya lagi.
Berkongsi lanjut, menurut Amaris setiap perancangan yang dilakukan pasti akan ada cabaran.
Dalam masa sama dia juga berdepan dugaan terbesar kehilangan ibu tercinta iaitu Allahyarham Hajah Hasnah Sahli yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu.
“Cabaran datang bersilih ganti. Saya juga baru kehilangan ibu baru-baru ini. Bagaimanapun saya tidak mahu kesedihan yang dilalui menjadi penghalang untuk melaksanakan program ini.
“Semoga dengan rezeki yang dikongsi ini juga dapat memberi pahala buat arwah ibu dan ayah. Doa-doa mereka ini semua akan menjadi bekalan buat kita semua juga,” jelasnya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Vokal lantang penyanyi Ziana Zain yang membawakan lagu Waktu nyata menjadi sorotan di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), sekaligus menerima tepukan gemuruh penonton di Axiata Arena Bukit Jalil, malam tadi.
Ziana yang berduet dengan bakat baharu Hasif Upin turut mendapat standing Ovation yang rata-ratanya menghargai bakat seni serta perjuangan penyanyi senior itu.
Muncul dalam persalinan hitam, Ziana dilihat bertenaga setiap kali melantunkan nota tinggi.
Malah Hasif juga memberikan paduan suara yang baik dalam persembahan berkenaan.
Ziana kembali ke pentas AJL selepas 15 tahun tidak beraksi sebaik penyertaannya di edisi AJL23 pada 2008 menerusi lagu Dingin.
Sebelum ini, pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain akui gugup, namun bersyukur lagu dendangan duetnya itu layak mara ke pentas akhir AJL38.
“Lebih-lebih lagi Hasif, kali pertama bersaing di AJL. Hasif beritahu, dia takut. Saya cakap, jangan takut, tengok sahaja muka saya apabila berada di pentas,” katanya.
Single Waktu dihasilkan komposer dan penulis lirik iaitu Firdaus Rahmat, Iqie Hugh dan John Jeeves bersaing dengan 11 lagu lain.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon meningkat naik, Fadhli Masoot mempunyai sebab tersendiri mengapa dia tidak terlalu terbuka mengenai hubungannya dengan isteri, Suraya sehinggalah selepas majlis pernikahan pada 2 Mac lalu.
Menurut Fadhli, dia sebenarnya hanya menunggu waktu yang sesuai untuk berkongsi mengenai berita perkahwinannya itu kepada umum.
“Saya ada prinsip sendiri. Saya hanya akan uar-uarkan dan akan beritahu bila sudah betul-betul sahih. Lebih-lebih lagi zaman sekarang ini, bila terlampau berkongsi, ada yang kecundang di tengah jalan.
“Saya risau akan jadi sebegitu. Jadi, saya memilih untuk berdiam dahulu soal hubungan sehinggalah tiba harinya.
“Saya bukan risau sama ada saya atau dia diganggu orang lain tapi saya lebih takutkan godaan syaitan.
“Alhamdulillah penerimaan orang ramai tentang pernikahan saya semuanya positif,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Projek High Council itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media program Ramadan dan Hari Raya TV3 baru-baru ini.
Katanya lagi, dia dan isteri kini sedang membiasakan diri untuk hidup berumah tangga.
“Ada beberapa hal yang buat saya rasa geli hati. Sepanjang 28 tahun hidup, bila habis makan, kita basuh pinggan sendiri. Tapi kali ini ada yang larang saya basuh.
“Bila saya ada penggambaran pada awal pagi, dia bangun dahulu untuk siapkan barang saya. Kini saya rasa makin terurus,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai perasaan untuk pertama kali menyambut Ramadan sebagai pasangan suami isteri, Fadhli
memaklumkan dia dan isteri akan cuba memudahkan antara satu sama lain.
“Pada awalnya, isteri saya panik juga. Dia tanya macam mana rutin saya ketika berbuka dan sahur. Saya bagitahu dia, saya ini bukan orang yang cerewet tentang makan.
“Bila sahur pula, menu yang boleh membahagiakan saya adalah telur goreng masak kicap. Sejak dahulu lagi, itulah makanan yang mak saya selalu sediakan.
“Itu adalah menu ringkas, senang, padu dan kenyang. Rupanya, dia pun suka menu sama,” ulasnya lagi.
Pada masa sama, Fadhli bersyukur apabila dikurniakan suami yang memahaminya kerjayanya sebagai anak seni.
“Sejak sebelum bertunang, saya sudah maklumkan kepada isteri yang saya nak fokus dalam kerjaya sebagau anak seni. Alhamdulillah, dia sangat menyokong saya.
“Sebelum ini, saya ada berlakon drama bersama Alya Iman, dia pula yang teruja tanya macam mana hasil lakonan saya.
“Kalau saya kata penat, dia akan berikan kata semangat. Dia pun tidak meletakkan sebarang syarat cuma saya kena faham sendiri,” akhirinya.
Terdahulu, Fadhli bakal bergandingan bersama heroin, Trisha Ooi menerusi drama terbaharu yang berjudul yang berjudul Ya, Cikgu.
Drama ini bakal ditayangkan pada Hari Raya pertama hingga ke-5, jam 10.30 pagi di TV3.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Enggan terus berada di takuk lama, penyanyi Haqiem Rusli menegaskan dirinya kini bersedia untuk mencuba sesuatu yang baharu dan keluar daripada zon selesa demi memastikan kerjayanya terus berkembang.