
Penyanyi Idayu tampil menjelaskan dakwaan yang kononnya dia menumpang populariti penyanyi Singapura, Iskandar Ismail, menerusi pelancaran single duet terbaharu berjudul Mahal.
Menurut Idayu, lagu duet tersebut sebenarnya telah dirakam sejak setahun lalu secara berasingan, tanpa dia mengetahui identiti rakan duetnya ketika itu.
Tambahnya Idayu, dia hanya memenuhi permintaan komposer, Farouk Roman, yang ingin mencari padanan vokal lelaki paling sesuai untuk lagu berkenaan.

“Proses pembikinan untuk merakamkan lagu Mahal ini memang agak sukar dan mencabar. Saya merakamkan lagu ini seorang diri dahulu tanpa mengetahui siapa penyanyi lelakinya.
“Ketika itu, Farouk Roman minta saya menyanyi mengikut ‘basic demo’ sahaja. Saya pun tertanya-tanya siapa rakan duet saya.
“Dia minta saya tunggu dan katanya mahu berikan saya kejutan. Selepas beberapa tahun, barulah proses rakaman siap. Barulah saya tahu penyanyinya Iskandar Ismail. Saya memang sangat teruja.
“Saya memang ikut perkembangannya sejak di GV12. Saya suka suara dia. Saya dan Iskandar berjaya memberikan rasa di dalam lagu ini,” katanya kepada MH.
Juara Akademi Fantasia Megastar itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media lagu tersebut di Red Box Karaoke The Gardens, baru-baru ini.
Sedia Kembali Aktif
Mengulas perkembangan kerjayanya pula, Idayu memaklumkan fokus utamanya kini lebih terarah kepada bidang perniagaan, namun tetap terbuka untuk kembali aktif dalam dunia nyanyian sekiranya peluang hadir.

“Saya tidak terlalu fokus dalam bidang nyanyian. Jika ada rezeki dan jemputan nyanyian, saya hanya buat sebagai komitmen. Fokus saya bukanlah seratus peratus dalam dunia nyanyian.
“Namun, andai kata saya ditakdirkan untuk betul-betul sibuk sebagai penyanyi, saya akan berikan komitmen seratus peratus.
“Saya pun tak tahu bagaimana nasib lagu Mahal ini. Saya hanya akan terus mempromosikannya,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Idayu turut memberi bayangan bakal tampil dengan single solo baharu dalam masa terdekat, sekali gus mengubat kerinduan peminat yang menantikan karya terkininya.

“Ketika ini, kita akan mempromosikan lagu Mahal terlebih dahulu. Jadual kita agak tergendala disebabkan puasa dan hari raya. Iskandar juga sibuk.
“Selapas ini, saya akan keluarkan lagu balada yang terbaharu. Lagu ini saya sudah simpan lama. Ramai yang bertanya bila saya akan muncul dengan lagu baharu. Jadi inilah masanya.
“Saya yakin peminat-peminat tegar saya akan suka karya saya yang seterusnya ini. Ia sebuah lagu balada yang kuat. Saya pasti peminat menanti-nantikan saya keluar lagu sebegitu,” akhirinya.
Lagu Mahal kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Sony Music.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




