
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman nampak tenang saat tiba di Istana Kehakiman, Putrajaya kira-kira jam 8.55 pagi.
Syed Saddiq berharap agar prosiding mahkamah pada hari ini dapat berlangsung dengan adil dan berjalan dengan baik.
“Saya mengharapkan keadilan dan kebenaran. Doakan,” katanya ringkas.
Setibanya di perkarangan mahkamah, Syed Saddiq turut bertemu dengan ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz untuk memohon salam restu.
Selain ibunya, Syed Saddiq turut ditemani oleh tunangnya yang juga penyanyi dan pelakon, Bella Astillah serta abang, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman.
Nasib Syed Saddiq sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akan diketahui pagi ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 9 pagi.