“Saya Kini Solo,” – Peragawati Dan Pelakon, Rita Nadira Sahkan Tiada Lagi Hubungan Istimewa Dengan Ezzrin Loy

Share

Model dan pelakon, Rita Nadira mengesahkan hubungan istimewanya bersama Ezzrin Loy kini sudah pun terlerai.

Tidak menafikan perkara tersebut, bintang berusia 23 tahun itu kini lebih selesa untuk memberikan fokus terhadap kerjaya modeling dan lakonan.

“Saya kini solo. Semenjak tahun lalu, kami berdua ambil keputusan untuk memberikan fokus dengan kerja masing-masing,” katanya.

Biarpun kini mereka membawa haluan sendiri, Rita sebaliknya turut menjelaskan, dia dan adik kepada pelakon Elfira Loy itu tidak mempunyai sebarang masalah.

“Saya dan Ezzrin masih lagi menjalinkan hubungan baik. Ibunya merupakan pengurus saya dan kami masih kawan, tak ada gaduh-gaduh pun.

“Dia fokus kerja, saya pun fokus kerja… Kami memutuskan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap karier,” katanya lagi.

Terdahulu, kemesraan di antara keduanya sebelum ini menjadi perhatian ramai.

Rita ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri 26 episod berjudul Juliet baru-baru ini.

Menerusi drama bersiri terbabit, Rita memegang watak utama bernama Julia di samping heronya, Redza Rosli.

Diterbitkan oleh Zeel Productions untuk siaran RTM September depan, naskhah ini mendapat sentuhan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar selaku sutradara.

Selain Rita dan Redza, Juliet turut membariskan pelakon hebat lain seperti Rozita Che Wan, Haliza Misbun, Azza Elite, Sofia Ibrahim, Louisa Chong, Scha Elinnea dan ramai lagi.

IKLAN