
Pelakon Fasha Sandha mendedahkan dia dan anak perempuannya, Putri Rasyha Jemyma, sebenarnya ada menerima pelawaan untuk menyertai program Talk To My Manager Musim Ke-2 (TTMM2).
Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak dapat diteruskan apabila bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai, tidak memberikan lampu hijau kepada Jemyma untuk menyertai program berkenaan.
Sebagai ibu, Fasha menghormati keputusan tersebut walaupun pada awalnya mereka sekeluarga cukup teruja dengan peluang yang diberikan.
“Sejujurnya saya dan Putri Jemyma memang sudah dipanggil untuk menyertai program TTMM pada tahun ini.
“Namun, bekas suami saya tidak membenarkan Jemyma untuk menyertai progam ini.
“Pada mulanya, kami sekeluarga sangat teruja tapi saya perlu hormati keputusan bapanya itu. Dia mahu Jemyma fokus pada pelajaran terlebih dulu,” katanya kepada MH.
Fasha berkata demikian ketika ditemui pada konsert suku akhir TTMM2, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fasha turut mendedahkan anak bongsunya, Aisha Amaira sudah mula menunjukkan minat terhadap dunia hiburan dan berhasrat untuk menyertai program TTMM pada masa akan datang.
Namun menurut Fasha, usia Aisha yang baru mencecah lima tahun masih terlalu muda untuk terlibat secara serius dalam bidang seni.
Justeru, dia hanya membawa anaknya itu ke lokasi konsert bagi memberi pendedahan awal mengenai suasana sebenar program berkenaan.
“Aisha pula masih terlalu muda. Usianya baru lima tahun. Dia nampak agak berminat untuk sertai program ini. Jadi, saya bawa dia untuk lihat sendiri bagaimana suasana di program ni.
“Pada saya, program ini sangat bagus. Ia dapat memberikan peluang pekerjaan dan pengalaman yang baik buat bakat-bakat muda ini.
“Pada saya, kesemua peserta yang bertanding juga sangat bagus. Bukan mudah nak buat persembahan di khalayak ramai. Setiap orang pasti akan ada perasaan takut dan gemuruh bila di atas pentas.
“Bila mereka boleh menyanyi, menari dan berlakon, itu menandakan mereka sangat hebat,” ujarnya lagi.
Malah Fasha akui Aisha mempunyai kecenderungan yang lebih kuat terhadap dunia seni berbanding adik-beradiknya yang lain.
“Aisha ada menunjukkan minat dan Aidil pun izinkan. Namun, usianya masih muda untuk menyertai sebarang kelas seni. Saya nampak dia lebih meminati dunia seni berbanding kakak dan abangnya.
“Dia seorang yang sangat ceria dan suka melayan orang lain. PR dia sangat bagus untuk jadi seorang artis. Cuma masih terlalu awal nak sertai bidang ini.
“Dia meminati Anggrek. Dia boleh hafal lagu-lagu yang Anggrek nyanyikan. Sejak semalam lagi dia ajak saya ke konsert TTMM2 ini,” ujarnya lagi.
Walaupun tidak berpeluang menyertai program berkenaan, Fasha tetap hadir memberikan sokongan kepada para peserta dan pengurus yang bertanding.
Menurutnya, dia menghargai usaha serta komitmen yang ditunjukkan para peserta dalam memberikan persembahan terbaik setiap minggu.
“Walaupun tak dapat sertai program ini, saya tetap datang menyokong. Saya sangat suka program ini dan ia buat saya terhibur.
“Jika ada masa lapang, saya akan ikuti perkembangan program ini walaupun di set penggambaran.
“Mereka ini sangat berbakat besar. Saya pula sukakan persembahan Cik B dan Amarra. Yang lain juga bagus tapi saya sukakan warna yang ada pada mereka berdua ini.
“Pada saya, nak buat orang menangis itu mudah. Namun, kebolehan Cik B dan ibunya untuk buat orang terhibur, itu memang sangat hebat,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini