
Penyanyi Najwa Latif tampil bersuara selepas berdepan kecaman di platform Threads susulan perubahan fizikalnya selepas bergelar ibu, baru-baru ini.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Najwa menjelaskan dia sudah terbiasa dengan kritikan dan kebencian sejak usia remaja, namun tidak pernah menjangka ada pihak yang akan tampil mempertahankannya.
Menurut Najwa, dia menganggap setiap orang berhak untuk memberikan pendapat masing-masing walaupun tidak semestinya diterima.
“Bagi seseorang yang telah melalui kebencian sejak usia 16 tahun, saya tidak pernah mengharapkan sesiapa untuk mempertahankan diri saya.
“Saya sentiasa percaya bahawa setiap orang berhak kepada pendapat masing-masing.
“Saya mungkin tidak menerimanya, tetapi saya tetap menghormatinya walaupun saya tidak diberikan hormat yang sama,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, penyanyi lagu Cinta Muka Buku itu menegaskan bahawa anak perempuannya bukanlah satu beban seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Saya membaca semuanya. Saya mahu anda tahu bahawa anak perempuan saya bukanlah satu beban.
“Dia adalah anugerah yang indah,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Najwa mengakui tersentuh dengan sokongan dan kasih sayang yang diberikan orang ramai.
Malah, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang mempertahankannya.
“Saya jarang berkongsi perasaan di media sosial, tetapi saya sangat tersentuh dengan kasih sayang dan kebaikan anda semua.
“Saya tidak tahu apa yang telah saya lakukan untuk layak menerima semua ini, tetapi saya berharap kebaikan anda akan kembali kepada anda. Insya-Allah, amin.
“Terima kasih kerana membantu menyembuhkan sebahagian daripada diri saya yang berusia 16 tahun,” akhirinya.
Untuk rekod, Najwa telah mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Akwa Ariffin pada November 2022.
Hasil perkahwinan itu, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu, Medina.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.