Berita

“Saya Bukan ‘Mastermind’ K.O.I, Cuma Sahabat Yang…,” – Eric Fuzi

Share

Pelakon dan pemuzik, Eric Fuzi tampil memberikan penjelasan susulan dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai individu utama di sebalik kejayaan kumpulan K.O.I, termasuk selepas mereka dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di Threads, Eric menjelaskan dia bukanlah ‘mastermind’ kumpulan tersebut, sebaliknya hanya membantu dari aspek persembahan pentas bersama pasukan produksi.

Malah tambah Eric lagi, dakwaan yang mengangkat dirinya sebagai individu paling bertanggungjawab terhadap kejayaan K.O.I sebagai tidak tepat dan boleh mengundang salah faham dalam kalangan peminat.

“Salam semua, saya nak buat penjelasan supaya ramai tak salah info dan buat banyak spekulasi yang salah.

“Saya bukan mastermind K.O.I, banyak posting yang mengangkat dan memuji saya tentang kejayaan K.O.I di AJL40 dan karya-karya mereka yang lain.

“Saya cuma sahabat yang membantu mereka dalam persembahan pentas bersama team dari Rusa dan Fukika Music yang diketuai oleh Project Manager saudara Luqman,” tulisnya.

K.O.I Ditubuhkan Oleh Anggota Asal

Dalam hantaran berasingan, pemain keyboard kumpulan Floor 88 itu turut memperjelaskan mengenai penubuhan K.O.I yang menurutnya, diasaskan lebih awal oleh anggota asal sebelum penambahan ahli baharu.

“K.O.I di tubuhkan awal oleh Achoi Floor 88, Hemo dan Mya. Dan penambahan ahli Raflex.. mereka berempat ahli tetap.

“Semua usaha dari mereka, saya sebagai sahabat hanya support sahaja dan gembira atas kejayaan mereka,” jelasnya lagi.

Harap Terus Beri Sokongan Kepada Semua Kumpulan

Dalam pada itu, Eric berharap orang ramai akan terus memberikan sokongan kepada K.O.I selain turut mendoakan kejayaan kumpulannya sendiri, Floor 88, pada masa akan datang.

“Teruskan support mereka dan juga doakan kami Floor88 juga dapat merasa genggam trofi Juara AJL akan datang.

“By the way, selain Floor 88, saya ada kumpulan Deroyan dan S.U.L!,” kongsinya.

Sabtu lalu, lagu Tiwikarma nyanyian K.O.I, hasil ciptaan komposer Zai Hamzah & Hemo Globin dan penulis lirik Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana & Sapik Sam menepati ramalan ramai merangkul trofi utama AJL40.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza