
Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana memanjatkan doa agar artis seangkatannya yang juga penyanyi, Syura Badron segera diberikan kesembuhan selepas dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman di buah pinggang dan darah, baru-baru ini.
Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, dia hanya mengetahui mengenai keadaan Syura selepas membaca laporan berita di media sosial.

“Saya ada baca juga berita mengenai keadaan Syura. Saya doakan semoga Syura lekas sembuh,” katanya kepada MH.
“Nana berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Single terbaharunya berjudul Ahai di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Ditanya sama ada dia terkejut mendengar perkhabaran tersebut, Nana memaklumkan dia sebenarnya tidak pasti sejauh mana mengenai keadaan terkini Syura.

“Saya tak tahu sama ada keadaannya serius atau tidak. Jadi, marilah sama-sama kita berdoa untuk Syura,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Syura telah dimasukkan ke Unit Pergantungan Tinggi (HDU) di sebuah pusat perubatan berikutan komplikasi kesihatan yang dialaminya.
Beberapa hari kemudian, Syura dipindahkan ke wad biasa dan kini sedang melalui proses pemulihan.
Teruja Lancar Lagu ‘Ahai’
Dalam perkembangan lain, ibu kepada seorang cahaya mata ini akui teruja melancarkan single terbaharunya yang berjudul Ahai.
Menurut Nana, dia sudah lama berhasrat untuk kembali membawakan lagu berentak irama Malaysia bagi mengubati kerinduan peminat.

“Saya sebenarnya sudah lama pasang perancangan untuk merekodkan lagu berentak irama Malaysia.
“Sebelum ini, saya pernah mempunyai lagu bergenre irama Malaysia namun, ia dalam versi duet.
“Jadi, ramai peminat yang merindukan lagu baharu daripada saya. Saya ambil masa selama dua tahun untuk buat keputusan ini.
“Malah kalau saya memenuhi jemputan persembahan, saya kerap membawakan lagu-lagu lama.
“Jadi, saya mahukan sebuah lagu yang lebih segar. Sebab itu kita rakamkan lagu baharu,” kongsinya sambil menyifatkan lagu Irama Malaysia begitu dekat dengan hatinya.
Pada majlis sama, Nana tampil mencipta kelainan apabila buat pertama kalinya mempersembahkan lagu Ahai secara langsung di tengah-tengah Bukit Bintang.
Lebih menarik, persembahan Nana digamatkan lagi dengan iringan tarian daripada kumpulan On Stage Productions.
View this post on Instagram
Sebagai tanda menghargai sokongan peminat, Nana turut membuat persembahan busking istimewa bersama kumpulan pemuzik jalanan, Genji Buskers dengan menyampaikan beberapa buah lagu hitsnya.
View this post on Instagram
Sebelum membuat persembahan Ahai secara langsung, teaser muzik video single berkenaan turut dipaparkan di skrin gergasi di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, menambahkan lagi kehangatan majlis pelancaran tersebut.
Ahai merupakan lagu ciptaan bersama Ikhwan Fatana dan Wan Saleh, sementara muzik video sudah boleh mula ditonton di saluran Youtube, 17 Eleven Music.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




