
Pempengaruh asal Singapura, Sarah Yasmine tampil menafikan dakwaan yang mengaitkannya sebagai punca keretakan hubungan cinta antara pasangan selebriti Niezam Zaidi dan Fify Azmi.
Menurut Sarah, hubungan antara dia dan Niezam tidak pernah lebih daripada sekadar persahabatan rapat.
“Dengan semua perkara yang anda sudah lihat di media sosial, perkara itu tidak betul pun. Kenapa saya kata tak betul, kerana saya dan Niezam memang kawan yang sangat baik. Itu sahaja.
“Kalau nak bercakap tentang hal yang terjadi pada tahun lepas, saya dan Niezam rapat sejak drama Dia Bukan Syurga. Walaupun kami sudah saling mengenali namun, kami tiada persefahaman.
“Jadi, kami putuskan untuk kekal berkawan sahaja. Sejak itu, kami menjadi kawan yang sangat rapat dan baik sehingga sekarang,” katanya menerusi hantaran video di Instagram.
Dalam masa sama, Sarah menjelaskan ketika dia mula berkawan rapat dengan Niezam, hubungan aktor itu bersama Fify dikatakan sudah pun berakhir.
“Ketika saya berkawan dengan Niezam, dia tidak lagi bersama Fify pun. Namun, saya tahu Niezam masih sayangkan Fify. Jadi, saya tak mahu terlibat dalam suasana yang rumit dan drama.
“Saya hanya menjadi kawan yang banyak memberikan motivasi untuk dia perjuangkan hubungan bersama Fify,” kongsinya lagi.
Sejak semalam, nama Fify menjadi perhatian ramai selepas membuat pendedahan mengenai teman lelakinya yang menggunakan inisial ‘NZ’, yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain.
Susulan pendedahan tersebut, netizen mula membuat pelbagai spekulasi dan mengaitkan nama Niezam serta Sarah.
Sementara itu, Sarah turut menjelaskan kehadirannya ke rumah Niezam ketika itu hanyalah untuk mendengar luahan serta memberi semangat kepada sahabat yang sedang berdepan masalah.
Malah, dia turut menafikan dakwaan kononnya mereka hanya berdua-duaan di rumah tersebut.
“Bila hubungan mereka putus buat kali kedua, Niezam baru sahaja pindah rumah. Sejak itu, dia tak tahu nak menghubungi atau bercakap dengan sesiapa.
“Jadi, dia hubungi saya. Kami bukan baru kenal dan terus nak DM. Ketika itu, dia perlukan seseorang untuk bercerita. Saya tidak akan tinggalkan kawan seorang diri.
“Saya pun pergi ke rumahnya. Untuk pengetahuan semua, bukan kami berdua sahaja di rumah itu. Kawan-kawan Niezam yang lain pun ada. Kami pernah melepak bersama.
“Kami sama-sama tolong kemas rumah Niezam. Selepas itu, kami main pickleball dan pergi makan. Ia hanyalah hari biasa bagi kami,” kongsinya lagi.
Mengulas lanjut mengenai isu cadar yang menjadi bualan ramai selepas tular tangkap layar perbualan yang dikongsikan Fify sebelum ini, Sarah menegaskan perkara tersebut telah disalah tafsir oleh pihak luar.
“Berkenaan cadar pula, rumah Niezam ketika itu sangat bersepah kerana baru berpindah. Tiada kerusi untuk duduk. Jadi, dia minta saya duduk di katilnya kerana itu tempat yang paling bersih.
“Niezam sangat menghormati saya. Dia tak nak saya duduk di tempah kotor atau berhabuk. Bab cadar ini memang tiada apa-apa pun. Orang luar yang buat spekulasi,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Sarah Yasmine