
Selepas lebih sebulan mendirikan rumah tangga, anggota kumpulan Dolla, Sabronzo mendedahkan dia kini menjalani kehidupan dengan baik bersama suami yang pemuzik, Ryan Fieret atau DJ Dash Berlin, tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
Menurut Sabronzo atau Wan Sabrina Wan Rusli, 30, dia juga mahu melalui kehidupan dalam ketenangan memandangkan dia juga perlu fokus terhadap komitmen bersama Dolla.
“Apa yang boleh saya katakan ketika ini ialah Alhamdulillah semuanya okay, berjalan dengan lancar.
“Perkara ini merupakan satu isu peribadi dan saya juga tak mahu memberikan tekanan kepada sesiapa.
“Agama lama dia juga menekankan tentang keamanan dan ketenangan.
“Apa yang penting ialah cara saya mengajar suami tentang Islam. Selagi mana kehidupan kami dipenuhi dengan kebaikan dan cinta, insya-Allah semuanya akan okay,” katanya.
Dalam pada itu, Sabronzo turut berkongsi pengalaman selepas bergelar isteri.
Sabronzo bagaimanapun tidak merasakan banyak perubahan berlaku, sebaliknya bersyukur kerana kehidupannya kini semakin tenang dan bahagia di samping suami tercinta.
“Alhamdulillah, kehidupan selepas berkahwin saya baik-baik sahaja. Saya gembira kerana telah menjumpai lelaki yang terbaik.
“Nak kata ada perbezaan banyak sangat selepas berkahwin, tidak juga kerana kami masing-masing memberikan fokus terhadap kerjaya kami.
“Cuma bezanya sekarang bila saya balik, saya ada teman untuk berbual. Alhamdulillah, saya bahagia,” ujarnya.


Perkahwinan Tak Ganggu Kerjaya Dolla
Sabronzo juga turut menganggap sokongan dan dorongan daripada suaminya memberi semangat baharu untuk terus maju dalam bidang hiburan, khususnya bersama Dolla.
“Saya tak rasa perkahwinan ini menjejaskan kerjaya malah ia membuatkan saya berasa lebih bersemangat.
“Saya sentiasa fokus dan akan sentiasa memberikan komitmen untuk mencapai segala sasaran bersama Dolla.
“Suami saya juga memberi motivasi untuk menjadi lebih baik memandangkan kami berada dalam bidang yang sama,” katanya lagi.
Terdahulu pada 29 September lalu, Sabronzo memuat naik gambar majlis perkahwinannya bersama Ryan sekali gus mengesahkan khabar angin dia sudah berumah tangga.
“Difahamkan, majlis resepsi itu berlangsung di Bali, Indonesia, pada 25 September lalu, manakala Sabronzo dan Ryan bernikah dua minggu sebelum mereka diraikan dalam majlis berkenaan.
“Kemeriahan acara di Bali turut dikongsi beberapa rakan selebriti, termasuk anggota Dolla sendiri.
“Hubungan Sabronzo dengan Ryan mula dihidu peminat sekitar Mei lalu selepas mereka dilihat saling berbalas komen di media sosial.
Pasangan itu dikatakan mula rapat selepas sama-sama terlibat dalam sebuah acara sekitar awal tahun 2024.
Ryan ialah seorang DJ asal Belanda yang juga salah seorang anggota kumpulan Dash Berlin.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




