Roslan Aziz Bebas Kanser Limfoma, Isteri Bangga Semangat Juang; “Saya Anggap Ini ‘Peluang Kedua’ Allah Berikan…”

Share

Komposer dan jurutera muzik, Roslan Aziz kini bebas daripada penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya sejak Disember tahun lalu.

Berita gembira itu disahkan oleh isterinya, Sopphilea Hamid memetik Harian Metro.

“Syukur Alhamdulillah, suami saya sekarang dalam keadaan sihat. Menerusi keputusan ujian Pemeriksaan Imbasan CT (Computed Tomography) dibuat, pada masa ini nampak gayanya seperti dah ‘clear’. Kemoterapi dapat bunuh semua sel-sel kanser itu.

“Tapi, suami saya mesti teruskan rawatan iaitu menjalani sesi radioterapi pula. Ia bagi memastikan sel-sel kanser berkenaan betul-betul berjaya dihapuskan. Kalau kemoterapi, suami saya perlu menjalani enam sesi pusingan rawatan, namun bagi radioterapi ini belum dipastikan lagi.

“Ditambah, Hospital Ampang (HA) tidak membuat sesi radioterapi dan kes suami saya sudah dirujuk kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL). Insya Allah, minggu depan baharu kami akan berjumpa pakar onkologi di sana,” katanya.

Menganggap kesembuhan suaminya itu sebagai peluang kedua yang diberikan Allah SWT, Sopphilea, 40, berkata kini dia sangat menjaga kesihatan Roslan, 60, terutama dari aspek pemakanan harian.

“Saya anggap ini ‘peluang kedua’ yang Allah SWT berikan kepada kami. Jadi, saya tak boleh sia-siakan dan perlu menjaga suami sebaik yang mungkin. Oleh itu, dalam tempoh sekarang saya sangat menjaga rutin pemakanan hariannya.

“Suami lebih difokuskan kepada pengambilan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan saja. Saya memang elak ambil daging dan ayam buat masa ini. Malah, saya mempelbagaikan masakan harian bagi sayur-sayuran.

Sebelum ini, Roslan mendedahkan doktor juga menjangkakan tempoh hayatnya cuma mampu bertahan sehingga enam bulan saja, iaitu Jun lalu, berikutan kanser limfoma dihidapinya sudah memasuki tahap empat.

Terdahulu, melalui hasil perkongsian hidup Roslan dan Sopphilea selama 20 tahun, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Megat Ali Aziz dan Megat Zayn Hamza Aziz.

Roslan yang juga bekas suami penyanyi Datuk Sheila Majid turut mempunyai dua cahaya mata iaitu Wan Nur Khaleeda dan Megat Abdul Majid Aziz, hasil perkahwinan lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

IKLAN