
Aktres Rita Rudaini tampil menyelar sikap segelintir pengguna media sosial yang dilihat memperkecilkan kejayaan anaknya, Airit Rayyan, selepas berjaya meraih pingat emas dalam acara 110 meter lari berpagar pada Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di media sosial, terdapat beberapa individu yang menyifatkan kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kejohanan itu hanya melibatkan sekolah-sekolah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan bukannya ada penyertaan daripada seluruh sekolah di Malaysia.
Rita berpendapat, golongan seperti ini sememangnya sukar menerima kejayaan orang lain dan sentiasa mencari alasan untuk memperlekeh setiap pencapaian yang diraih.
“Bila pecah rekod sekolah, kata bukan rekod Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD). Bila pecah rekod MSSD, kata bukan rekod Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN).
“Bila pecah rekod MSSN, kata bukan Sea Games. Bila pecah rekod Sea Games, kata bukan Olimpik,” katanya.
Perkara itu dikongsikan oleh pelakon drama Jiwa Seorang Pentaksub itu menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.
Dalam masa sama, Rita menyifatkan individu yang gemar merendah-rendahkan kejayaan orang lain sebenarnya tidak bahagia dengan kehidupan mereka sendiri.
“Bro, kalau kau orang yang bijak, dia akan fikir tentang proses. Tiada proses yang bermula daripada atas.
“Awak pun bukan keluar daripada perut mak, terus boleh bercakap dan berlari. Mesti tak gembira dengan diri sendiri,” kongsinya lagi.
Terdahulu, kejayaan Airit memecahkan rekod MRSM Kebangsaan dalam acara 110 meter lari berpagar meraih perhatian meluas daripada netizen dan pihak media.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Threads & Instagram Rita Rudaini