
Aktres Fasha Sandha lebih senang untuk kekal merendah diri meskipun menerima Pingat Jasa Baik (PJB) sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, baru-baru ini.
Bagi Fasha, anugerah yang diterima merupakan antara pengiktirafan paling besar dalam hidupnya dan menjadi pemangkin untuk terus memperbaiki diri.
View this post on Instagram
“Kalau bercakap lebih nanti, saya risau orang kata saya riak. Saya pun tak tahu bagaimana nama saya terpilih namun, saya anggap itu adalah hadiah dari Raja Perlis.
“Saya sangat berbesar hati dan kurniaan ini menyuntik semangat saya untuk menjadi insan yang lebih baik. Banyak lagi perkara yang perlu kita perbaiki dalam hidup ini,” katanya kepada MH.
Sebagai anak seni yang dibesarkan di negeri Perlis, Fasha akui terharu apabila jasanya dihargai.
Malah, katanya lagi, anugerah itu juga disifatkan sebagai satu rezeki berkat perkahwinan dan anak-anak yang menjadi kekuatan dirinya kini.
“Saya anggap itu juga rezeki perkahwinan dan anak-anak. Seperti yang selalu saya katakan, saya ini banyak kekurangan berbanding kelebihan.
“Jadi, bila kelebihan kita diiktiraf, itu adalah rezeki. Pengiktirafan dan kurniaan itu jarang diberikan oleh pihak istana. Saya tak pernah sangka,” ujarnya lagi.
Mahu Terus Berbakti, Bukan Kejar Gelaran
Dalam pada itu, Fasha turut menyatakan keterbukaannya untuk terus menyumbang khidmat di negeri Perlis, namun tidak mahu meletakkan sebarang janji besar.
Bagi dirinya, apa yang penting adalah untuk kekal menjadi diri sendiri.
“Saya tak rasa terbeban. Sebaliknya, rasa dihargai. Namun, saya tidak mahu terlalu menjanjikan apa-apa. Saya tetap mahu menjadi diri sendiri.
“Mungkin saya akan lebih aktif di Perlis selepas ini. Sebelum ini, saya memang selalu berkongsi fasal negeri Perlis.
“Walaupun saya dilahirkan di Johor tapi dibesarkan di Perlis. Mungkin sebab itu periktirafan itu diberikan kepada saya. Ia satu kenangan yang manis,” kongsinya lagi.
Mengulas spekulasi yang mengaitkan penganugerahan tersebut sebagai laluan awal kepada gelaran Datuk, Fasha bagaimanapun menegaskan perkara itu langsung tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Gelaran Datuk? Terlalu berat dan saya tak pernah terfikir langsung. Tiada komen mengenai itu,” katanya.
Sebaliknya, dia menekankan dirinya belum layak untuk dianggap ikon negeri Perlis.
“Terlalu jauh untuk saya dianggap ikon negeri Perlis. Ramai lagi orang yang lebih layak. Saya hanya insan biasa yang masih belajar dan terus mencuba untuk jadi lebih baik,” akhirinya.
Fasha ditemui pada Majls Tayangan Gala Filem Citra Apartment lakonan adiknya, Elisya Sandha. Filem arahan Amor Rizan itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Kredit Foto: Instagram Fasha Sandha
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI