Ramai Yang Sayang, Tabung Kecemasan Nad Zainal Cecah Hampir RM70,000

Share

Tabung kecemasan bagi mengutip dana untuk pelakon Nad Zainal kini sudah mencecah sumbangan hampir RM70,000 selepas beberapa hari ia dilancarkan.

Perkembangan mengenai jumlah kutipan itu telah dikongsikan pengarah yang juga rakan baik Nad iaitu Shahrulezad Mohameddin atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat.

Setakat pagi Khamis, jumlah kutipan berjaya dikumpul ialah sebanyak RM69,697 daripada sasaran iaitu RM200,000.

“Alhamdulillah, syukur. Tabung masih terus dibuka ya kawan-kawan sekalian,” tulis Ijat di ruangan kapsyen.

Sementara itu, pelakon Ungku Ismail Aziz berkata tabung yang diwujudkan hasil inisiatif rakan-rakan artis serta peminat Nad itu adalah bagi menampung kos rawatan medikalnya di hospital pakar serta untuk membantu meringankan beban keluarga aktres tersebut.

“Lebihan dari sumbangan kecemasan rawatan medikal pakar ini akan disalurkan terus ke penjagaan harian pasca penjagaan rawatan Nad.

“Yang pastinya, jangan kita lupa titipkan doa untuk Nad agar kembali pulih sepenuhnya,” tulis Ungku Ismail.

Nad dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor akibat jangkitan kuman dan pendarahan di paru-paru sejak 20 November lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

IKLAN