
Selepas berjaya mencipta fenomena menerusi watak Datuk Muzaffar dalam drama Dendam Seorang Mentua, pelakon dan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim mendedahkan dirinya menerima pelbagai komen nakal serta usikan daripada peminat di media sosial.
Bagaimanapun, selepas 34 tahun bergelar anak seni, Yusry mengakui dia sudah cukup matang untuk mengawal reaksi terhadap setiap komen yang diterimanya dan memilih untuk tidak melayan perkara-perkara yang boleh mengganggu emosinya.
“Saya sudah berada di dalam industri ini selama 34 tahun. Mana-mana komen yang mengusik atau berbaur negatif, saya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
“Ia tak boleh nak dilayankan sangat. Ada juga komen-komen daripada peminat baharu yang tak tahu langsung tentang KRU selama ini. Ada juga peminat dari Indonesia.
“Mungkin mereka yang mengusik saya itu ingat saya ini duda seperti Datuk Muzaffar. Mereka tidak tahu saya sudah beristeri dan punyai tiga orang anak.
“Saya ikutkan sahaja. Saya rasa tiada siapa nak mengganggu rumah tangga saya. Mereka hanya sekadar meminati saya sebagai pelakon. Saya rasa itu bukan kesalahan,” katanya kepada MH.
Suami kepada pelakon, Lisa Surihani itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Jiwa & Raga, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Yusry mengakui agak terkejut dengan reaksi luar biasa yang diterima daripada peminat selepas sekian lama tidak bergerak secara solo.
Menurutnya, sepanjang berada dalam industri seni, dia tidak pernah meletakkan sasaran untuk menjadi seorang superstar, sebaliknya hanya melakukan sesuatu atas dasar minat dan kecintaan terhadap seni.
“Saya tidak pernah merancang untuk menjadi superstar. Saya buat semua ini kerana minat. Jika orang suka apa yang saya minat, syukur alhamdulillah.
“Saya tak pernah terdetik bila buat satu perkara itu untuk dapatkan peminat atau pengikut. Setakat ini, segalanya berjalan lancar. Saya harap sokongan ini akan berterusan.
“Saya ini seorang yang sangat mudah dan bersederhana. Malah, peminat pun tahu yang saya ini seorang yang introvert, pendiam dan pemalu.
“Bila dapat perhatian seorang diri macam ini, ia agak menakutkan bagi saya. Selama ini saya ditemani dua adik beradik saya. Ada tekanannya juga,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Yusry berpandangan seseorang artis perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan semasa sekiranya mahu terus relevan dalam industri hiburan.
Katanya, perkembangan teknologi dan perubahan cara peminat berinteraksi dengan artis hari ini menuntut semua penggiat seni untuk lebih terbuka serta bersedia menerima perubahan.
“Untuk menjadi artis yang terus kekal relavan, kita kena beradaptasi dengan peredaran masa. Sebelum ini, saya tak tahu langsung tentang Tik Tok tapi saya kenq fahamkan juga.
“Itulah cara untuk promosikan lagu dan karya kita ketika ini. Kita juga kena faham cara penerimaan peminat masa kini. Dahulu, kalau peminat suka, mereka akan hantar surat.
“Kalau tak suka, mereka diam sahaja. Dulu tiada ‘haters’. Pada zaman ini, lebih mudah untuk kita dapatkan ‘haters’. Ini adalah lumrah buat artis bergerak seiring masa.
“Saya tak rasa ia sesuatu yang janggal. Kami sudah beradaptasi sejak sekian lama. Banyak teknologi yang berubah. Kalau kita tak boleh terima, kita akan hilang sesuatu akan memanjangkan kerjaya kita,” akhirinya.
Terdahulu, selepas lebih dua dekad, Yusry kembali muncul dengan single terbaharu berjudul Jiwa & Raga.
Lagu tersebut merupakan antara karya yang bakal dimuatkan dalam album solo terbaharunya yang dijadualkan dilancarkan pada Julai depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini