Ramai Kirim Ucapan Tahniah, Riena Diana Leraikan Kekeliruan ; “Maaf Andai Kata Perkongsian Saya Timbulkan Salah Faham.”

Share

Pelakon dan penyampai radio, Riena Diana menerima banyak ucapan tahniah pengikut di laman sosial apabila memuat naik gambar memakai baju hitam bersama seorang lelaki,  semalam.

Sambil menulis ucapan tahniah, bintang Kampung People itu yang ayu mengenakan persalinan serba hitam di hadapan sebuah pejabat agama, mencetuskan tanda tanya ramai.

Dia bagaimanapun tampil mendedahkan, lelaki berkenaan ialah bapanya yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan.

“Sebenarnya bukan saya yang berkahwin, tetapi bapa saya. Tidak sangka pula ramai yang mengirimkan ucapan tahniah gara-gara kapsyen yang dimuat naik di Insta Stories.

“Maaf andai kata perkongsian saya ini menimbulkan salah faham. Sebagai anak, semestinya saya gembira apabila ayah saya membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.

Riena pada masa sama menambah, majlis pernikahan bapanya berlangsung secara ringkas bagi melaksanakan yang wajib terlebih dahulu.

Sementara mengenai hari bahagianya pula, Riena menjelaskan, sekiranya dia mempunyai perancangan untuk berkahwin, dia pasti berkongsi hal gembira kepada semua.

“Buat masa ini saya belum mempunyai perancangan untuk berkahwin. Kalau boleh, saya ingin bekerja dulu membantu keluarga sebelum menukar status menjadi isteri orang.

“Apa yang pasti, jika sudah ada tarikh dan sebagainya, semestinya saya akan berkongsi berita baik itu,” katanya lagi.

IKLAN